LIVERPOOL : Meskipun mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) namun bintang Liverpool, Mohamed Salah menegaskan kekalahan 0-1 kepada Inter Milan di Anfield pada aksi kedua, semalam merupakan satu amaran kepada The Reds.
Skuad kendalian Jurgen Klopp mara dengan agregat 2-1 selepas memenangi aksi pertama di San Siro 2-0 dan perlawanan semalam di Anfield menyaksikan Liverpool bermain dengan selesa.
Gol Lautaro Martinez kembali menghidupkan peluang Inter Milan dengan merapatkan jurang kedudukan namun pasukan kendalian Simone Inzaghi gagal untuk menambah jaringan sekali gus tersingkir daripada UCL.
Ia merupakan kekalahan pertama Reds di Anfield sejak 7 Mac tahun lalu dan menamatkan rentetan 28 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri.
“Mereka pasukan yang kuat, sewaktu perlawanan di Itali juga mereka amat bagus. Kami bergelut pada permulaan permainan tetapi lebih banyak menguasai dalam babak kedua.
“Perkara terpenting adalah pasukan kami layak. Kami kalah tetapi ia perlawanan yang baik untuk kami mengambilnya sebagai satu pengajaran.
“Mungkin di minda kami, kami terlalu yakin tetapi malam ini (semalam), percubaan kami terkena palang sebanyak dua kali dan kami juga melepaskan beberapa peluang. Ia perlawanan bagus untuk kami belajar
“Semua orang mahu memenangi UCL dan EPL (Liga Perdana Inggeris), jadi kami akan berjuang untuk kedua-duanya dan kita akan lihat nanti,” ujarnya.
Skuad Reds melalui rentetan 12 perlawanan dengan kemenangan untuk menghidupkan peluang meraih empat trofi musim ini.
Selepas meraih gelaran Piala Liga bulan lalu, skuad kendalian Jurgen Klopp kini mara ke kelompok lapan terakhir Liga Juara-Juara dan Piala FA serta memiliki baki satu perlawanan untuk mengurangkan jurang enam mata berbanding Manchester City di persada liga. -AGENSI