PETALING JAYA: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan cabaran ke suku akhir kejohanan badminton All England.
Kejayaan itu hadir selepas Pearly-Thinaah bangkit menewaskan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 18-21, 21-19, 21-16 pada pusingan kedua di Utilita Arena Birmingham sebentar tadi.
Beregu ranking ke-15 dunia itu selepas ini bakal bertemu pemenang antara Jeong Na-eu-Kim Hye-Jeong dari Korea Selatan atau pasangan Thailand, Supissara Paewsampran-Puttita Supajirakul di suku akhir malam esok.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah memulakan saingan All England dengan kemenangan straight-set 21-8, 21-12 ke atas beregu Brazil, Jaqueline Lima-Samia Lima di pusingan pertama semalam. – UTUSAN ONLINE