KUALA LUMPUR : Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu disegerakan berikutan momentum UMNO BN berada di tahap positif selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO bahagian Pekan, Datuk Mohd. Nizar Najib berkata, dalam masa yang sama UMNO perlu mengambil kesempatan terhadap perpecahan yang berlaku dalam kalangan pembangkang, yang dilihat sukar untuk bekerjasama dalam masa terdekat susulan kekalahan dalam kedua-dua PRN baru-baru ini.
“Saya fikir, Insha-Allah kita ada peluang yang cerah sebab saya lihat kita sebagai satu parti ini sudah bersiap sedia dan sudah menghadapi PRN di Melaka dan Johor. Saya juga fikir bukan mudah untuk pembangkang menyatukan diri mereka sebab masih ada syak wasangka dan kecewa disebabkan episod Langkah Sheraton. Jadi, dalam masa yang terdekat ini, sukar mereka bergabung, tapi bukan mustahil, sebab itu kita berada di tahap ada kelebihan ini, kita patut melaksanakan PRU secepat mungkin.
“Lagi cepat lagi bagus, tak payah tunggu lama-lama. Momentum semangat ada dengan kita, buat apa nak tunggu lama-lama kan?” soalnya. –UTUSAN ONLINE