ISKANDAR PUTERI: Negeri Sembilan (NS) Antlers menamatkan saingan Piala Juara-Juara STL di tangga ketiga selepas mudah menundukkan Melaka Titans 2-0 21-10, 21-15 di Iskandar Malaysia Studio, di sini sebentar tadi.
Antlers yang menurunkan Hisham Mat (tekong), Norhaffizi Abd Razak (apit kanan) dan Zulefendi Sumari (apit kiri) cemerlang sejak awal apabila mendahului 5-3.
Persembahan Melaka Titans dilihat serba tidak menjadi serta servis Sahidan Md. Ali yang gagal melepasi jaring menjadikan mereka jauh ketinggalan 3-12.
Ketua jurulatih Melaka Titans mengambil keputusan mengeluarkan Sahidan dan membawa masuk Farid Abd. Aziz, namun juara Divisyen 1 itu gagal menghalang kemaraan Negeri Sembilan yang terus menjarakkan kedudukan 16-4.
Norhaffizi Abd Razak memastikan kemenangan buat Negeri Sembilan Antlers menerusi rejamannya yang menuai mata buat pasukan untuk menang 21-10.
Pada set kedua, Melaka Titans beraksi dengan lebih baik berbanding set pertama apabila perejam import dari Thailand, Rusdee Leerem meletakkan pasukan di kedudukan 6-3.
Rusdee yang dibawa masuk menggantikan Fadzil Baharudin terus menambah mata buat Melaka Titans menerusi variasi rejaman untuk terus berada di hadapan dengan mata 10-6.
Antlers mencipta kebangkitan merapatkan kedudukan 11-10 berpunca daripada servis, Hisham Mat sebelum memintas dari segi pungutan mata 15-13.
Pasukan kendalian Shahibol Mazlan terus menjarakkan kedudukan dengan kutipan mata yang dihasilkan perejamnya, Norhaffizi untuk selesa di hadapan dengan mata 19-14 sebelum menang 21-15.