KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah satu tindakan salah guna proses mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam afidavit jawapan yang difailkan 4 Februari lalu turut menyatakan tindakan yang diambil Ahli Parlimen Pekan itu adalah serangan sampingan (collateral damage) yang dibuat melalui bidang kuasa mahkamah yang berbeza.
“Berhubung sikap berat sebelah membabitkan Peguam Negara (ketika itu), Tan Sri Tommy Thomas mendakwanya dan campur tangan dalam siasatan, saya menegaskan bahawasanya, pernyataan-pernyataan tersebut sekiranya relevan, sewajarnya dibangkitkan dalam perbicaraan kes-kes jenayah terhadap plaintif (Najib).
“Saya juga menegaskan tindakan plaintif membangkitkan perkara tersebut dalam prosiding ini merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah,”kata Ahmad Akram.
Tambah timbalan pendakwa raya itu berkata, dakwaan Najib bahawa terdapat perkembangan baharu dalam skandal penyelewengan dana 1MDB, perlu dibangkitkan dalam perbicaraan jenayah dan bukannya melalui saman.
Najib yang memfailkan saman pada 22 Oktober 2021 terhadap Tommy dan kerajaan, berkata 35 tuduhan dikenakan terhadapnya, kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, adalah sesuatu yang sudah lama dirancang Tommy.
Menurut pernyataan tuntutan, Najib mendakwa Tommy telah melakukan misfeasans (gagal melaksanakan tugas dengan betul) dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) dan cuai ketika menjadi Peguam Negara.
Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, Tommy telah bersikap prejudis terhadapnya sebelum beliau didakwa di mahkamah.
Akibatnya, Najib mendakwa beliau hilang reputasi sebagai ahli politik, hilang kebebasan semasa disiasat pihak berkuasa dan turut mengalami kesakitan, penderitaan serta trauma.
Oleh itu, Najib memohon deklarasi bahawa Tommy telah melakukan misfeasans serta ganti rugi am, teladan dan tambahan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.
Beliau juga menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi dan kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya.
Pada November 2021, Tommy dan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atas alasan saman tersebut adalah sesuatu yang mengaibkan, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Mereka juga mendakwa Najib juga tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah dan merupakan satu tindakan yang tidak boleh dikekalkan (obviously unsustainable) atau dipertahankan. –UTUSAN ONLINE