JOHOR BAHRU: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipertahankan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menerajui kepemimpinan parti menghadapi cabaran lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan PN Johor, Mohd. Solihan Badri menegaskan, kepemimpinan Muhyiddin juga masih diperlukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui PN sebagai gagasan yang memperjuangkan sebuah kerajaan berintegriti.
Beliau berkata, peranan Pengerusi PN Johor itu mampu mengetuai pentadbiran yang cekap dan prihatin rakyat bersama parti komponen Pas dan parti Gerakan.
“Kami tahu, ada pihak menggunakan sentimen kekalahan calon-calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk mengadu domba bahawa punca utamanya konon disebabkan kesilapan pendekatan mahupun strategi Muhyiddin.
“Namun, kami tahu beliau, barisan kepemimpinan PN serta jentera pilihan raya parti telah melakukan yang terbaik tetapi banyak faktor lain menyumbang kepada kekalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PRN Johor menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengungguli dan berjaya membentuk kerajaan baharu setelah menang 40 kerusi daripada 56 kerusi ditandingi.
Sementara itu, PN yang turut bertanding di kesemua 56 kerusi hanya memenangi tiga kerusi bagi kawasan DUN Endau, Maharani dan Bukit Kepong.
Mengulas lanjut, Mohd. Solihan berkata, kekalahan tersebut membakar semangat dan iltizam parti untuk meneruskan perjuangan agenda pembaharuan landskap politik, tadbir urus negara berteraskan integriti serta mensejahterakan rakyat.
“Kepemimpinan PN tidak akan terus membiarkan mana-mana pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan kuasa memimpin sebuah parti Melayu serta menerajui kerajaan di negara ini.
“Kami khuatir, ahli-ahli parti itu pun akan sama-sama mengamalkan rasuah dan menerima gejala tersebut sebagai satu budaya kerana meneladani perlakuan pemimpin mereka,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE