Memandu keadaan mencurigakan, rupa-rupanya bawa dadah

Memandu keadaan mencurigakan, rupa-rupanya bawa dadah

POLIS membuat pemeriksaan dalam kereta Perodua Myvi ketika sekatan jalan raya sempena Op Tapis di Kilometer 17, Jalan Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur di Bentong, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun kerana kesalahan dadah sempena Op Tapis di sekatan jalan raya Kilometer 17, Jalan Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur dekat sini semalam. 

Sewaktu ditahan pada pukul 5.30 petang itu, polis turut menemukan dan merampas dadah jenis ganja dalam sebuah kotak di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi dinaiki suspek berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis menahan kereta Myvi setelah mendapati suspek memandu dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila diperiksa, polis menemukan sebuah kotak di tempat duduk penumpang belakang dan membuat pemeriksaan lanjut mendapati lima ketulan mampat masing-masing dibaluti pembungkus warna keemasan dan plastik lut sinar.

“Kita mempercayai ketulan mampat ini dadah jenis ganja dengan berat keseluruhan, iaitu 5,127.42 gram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek lelaki tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Anggaran dadah yang dirampas bernilai RM12,500. Jumlah dadah yang dirampas ini boleh menampung bekalan untuk seramai 5,127 orang.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Mac ini dan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

“Suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952, juga sekiranya disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun,” katanya.

Zaiham selanjutnya merakamkan jutaan terima kasih kepada orang ramai di daerah ini kerana membantu menyampaikan maklumat kepada polis sehingga suspek itu berjaya diberkas.

“Saya terus mengajak orang ramai bertanggungjawab bersama-sama membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah yang bukan sahaja memudaratkan dalam kalangan penagih berkenaan malah menjejaskan keharmonian, masyarakat, bangsa dan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya