LONDON: Mohamed Salah memberi jaminan kepada Jurgen Klopp supaya tidak perlu bimbang mengenai tahap kecederaannya selepas dikeluarkan ketika membantu Liverpool melakar kemenangan 2-0 ke atas Brighton di Stadium Amex, kelmarin.
Bintang Mesir itu, berjaya menjaringkan gol ke-2,000 Liga Perdana Inggeris (EPL) buat The Reds namun Salah terpaksa dikeluarkan pada minit ke-64 akibat kecederaan.
Liverpool akan bertandang ke Arsenal, awal pagi Khamis ini dan Klopp mahu Salah bersedia untuk pertembungan dengan pasukan kendalian Mikel Arteta tersebut.
“Kita akan lihat. Dia kata ia tidak serius tetapi anda dapat melihat apabila Mo Salah duduk, ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya fikir ia berkait rapat dengan situasi ketika dia cuba menyepak bola dan ia dihadang, saya rasa ada sedikit impak. Kami perlu menilainya lebih lanjut,” jelasnya.
Luis Diaz terlebih dahulu membuka jaringan, sebelum Salah meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului sekali gus mengurangkan kelebihan Manchester City di carta liga kepada tiga mata.
“Ia adalah satu perlawanan yang mengagumkan daripada kami dan saya rasa kami berjaya melaksanakannya.
“Kami sentiasa mahukan gol kedua untuk cuba mematikan permainan. Kami mempunyai satu atau dua peluang lagi untuk menjaringkan gol.
“Secara keseluruhannya, saya fikir kami sangat gembira dengan prestasi keseluruhan perlawanan ini,” kata kapten Liverpool, Jordan Henderson.
Selepas 28 daripada 38 perlawanan musim ini, perebutan kejuaraan hanya tertumpu kepada dua pasukan dengan Manchester City menerajui takhta liga dengan 69 mata diikuti Liverpool yang mengumpul 66 mata. – AGENSI