KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berusaha untuk mengambil alih tanah rizab di sepanjang tebing Sungai Golok sebagai langkah mengekang jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengambilan tanah rizab dapat menghalang aktiviti jenayah kerana di situlah wujudnya ‘lorong tikus’ digunakan penjenayah untuk menyusup masuk dan bersembunyi.
“Apa yang merumitkan kerajaan ketika ini adalah terdapat banyak bangunan persendirian dibina di atas tanah itu di sepanjang tebing sungai tersebut,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Syahbuddin Hashim (BN- Galas) yang meminta kerajaan negeri mengulas isu sosial di negeri ini terutama masalah penyalahgunaan dadah yang dikaitkan dengan kelemahan kawalan keselamatan di sempadan negara.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, selepas beberapa kali memohon peruntukan kerajaan Persekutuan bagi melancarkan urusan pengambilan tanah itu, pihaknya merancang untuk memohon sekali lagi.
“Kita cuba angkat sekali lagi dan bawa perkara ini kepada pihak Kerajaan Persekutuan supaya kita dapat melaksanakan pengambilan tanah tersebut, termasuk untuk pindahkan penduduk di kawasan itu.
“Antara cadangan lain untuk mengekang jenayah rentas sempadan, kita mungkin akan membina pagar atau benteng di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand pada masa depan,” katanya.- UTUSAN