JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu jumlah jaringan gol menjadi ukuran kerana apa yang penting bagi skuad Harimau Selatan itu adalah mencatatkan kemenangan dalam setiap aksi.
Pengendalinya, Benjamin Mora berkata, perkara perlu diutamakan pemain adalah mengekalkan cara JDT bermain iaitu menguasai bola dan melakukan gerakan sebagai pasukan bagi memburu misi mengutip tiga mata.
Beliau berpuas hati dengan persembahan setiap pemainnya yang mempamerkan kesungguhan dengan mengekalkan momentum permainan hingga mampu mencipta enam gol pada perlawanan Liga Super menentang Sarawak United FC, malam tadi.
Mora memberitahu, sekiranya pemain mengekalkan komitmen yang ditunjukkan pada perlawanan tersebut, mereka mampu untuk melangkah lebih jauh dan tidak akan ada pihak mampu menyaingi mereka.
“Jumlah jaringan gol bukanlah ukuran, yang paling penting adalah skuad bimbingan saya menang. Sudah tentu kami melakukan penambahbaikan dalam proses itu namun keutamaan kami beraksi dengan baik, kalau boleh skor enam gol itu sudah lebih daripada sempurna.
“Setiap pemain baik di bahagian jentera serangan mahupun benteng pertahanan, mereka memberikan tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak memperlahankan rentak permainan dan dahagakan untuk menambah jaringan sehingga wisel penamat.
“Ini bukan bermakna Sarawak United beraksi dengan buruk tetapi kami beraksi dengan lebih baik. Komitmen 100 peratus yang ditunjukkan pemain ini wajar diberikan pujian dan jika diteruskan, ia akan bantu pasukan pergi lebih jauh,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Pada perlawanan tersebut, gandingan penyerang import Harimau Selatan, Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva masing-masing menjaringkan dua gol manakala pemain kebangsaan Filipina, Carli De Murga meledak gol pertama bersama pasukan dan Safawi Rasid menambah derita lawan menjaringkan gol pada minit akhir permainan.
Pengendali kelahiran Mexico itu memuji gandingan padu Bergson dan Forestieri yang membantu pasukan untuk berpesta gol malah percaya gandingan itu akan bertambah baik sekiranya dapat meningkatkan persefahaman antara satu sama lain.
“Forestieri masih lagi menyesuaikan diri dengan sistem Harimau Selatan serta rakan pasukan yang lain terutamanya bergandingan dengan Bergson di bahagian serangan. Dia adalah pemain yang sentiasa bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk memburu jaringan dan melakukan tugas dengan baik malam ini,” katanya.
Tambah Mora, aksi yang ditunjukkan pemain tempatan tidak kalah kepada aksi importnya yang saling melengkapi menjadikan JDT dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang baik dalam setiap perlawanan.
“Jika saya tukar Safiq Rahim dengan Leandro Velazquez, tidak akan ada yang perasan kerana kedua-dua mereka beraksi dengan baik, ini pentingnya setiap pemain mengekalkan rentak permainan dan kekal konsisten, katanya.