IPOH: Pelumba Perak, Nur Assyira Zainal Abidin kecewa apabila namanya tiada dalam senarai atlet kebangsaan ke Sukan SEA di Vietnam, 12 hingga 23 Mei depan walaupun memenangi acara Wanita Elite Kejohanan Basikal Bukit (MTB) Kebangsaan 2022 di Putrajaya semalam.
Nur Assyira, 28, berkata, sebelum kejohanan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menguar-uarkan kejohanan itu merupakan medan untuk pemilihan atlet wanita acara MTB ke Sukan SEA. Namun difahamkan dua slot acara Cross-Country Olimpic (XCO) wanita disediakan untuk pemilihan ke Hanoi dari kejohanan itu.
Katanya, lebih mengecewakan, difahamkan slot untuk dua pelumba acara itu yang akan dihantar ke Hanoi sebenarnya sudah ditentukan sebelum kejohanan lagi.
“Kejohanan ini untuk pemilihan ke Sukan SEA, PKBM hantar jemputan penyertaan ke setiap negeri dan saya difahamkan ada slot atlet wanita untuk bertanding ke Hanoi dipilih dari kejohanan ini.
“Saya buat persediaan secukupnya untuk menang di sini tetapi belum pun perlumbaan dilangsungkan, saya diberitahu sekalipun menang, saya tidak akan terpilih ke Sukan SEA kerana sudah melebihi had umur.
Kriteria pemilihan
“Saya nampak macam bias, sebab nama pelumba yang akan ke Sukan SEA sudah ada sebelum kejohanan lagi. Jika begitu kenapa diadakan kejohanan ini dan menguar-uarkan ini kejohanan untuk memilih pelumba ke Sukan SEA?
“Kalau sudah kata ini kejohanan untuk pemilihan, tapi kenapa sudah ada nama lebih awal? Kenapa tidak beritahu secara terperinci dalam kriteria pemilihan, apa fungsi kejohanan ini sebenarnya,” katanya.
Menurutnya, dia amat kecewa dan tidak menjangka perkara sedemikian boleh berlaku kerana sudah membuktikan layak untuk mewakili negara berdasarkan merit selepas menang di Putrajaya dengan catatan masa yang amat baik berbanding pencabar lain.
Dalam kategori Wanita Elite, Nur Assyira menduduki tempat pertama dengan masa 1:13:37 saat, tempat kedua pelumba Sabah, Natashya Soon (1:17:40s) dan pelumba Putrajaya, Nur Deena Safia Nor Effandy di tempat ketiga (1:23:07s).
Nur Assyira berharap peluang untuknya mewakili negara ke Sukan SEA belum berakhir dan mahu PKBM mengotakan janji pemilihan atlet ke Hanoi berdasarkan keputusan kejohanan di Putrajaya.
“Saya harap keputusan segera dapat dibuat mengenai status saya terpilih atau tidak ke Sukan SEA.
“Ini kerana jika keputusan lewat dibuat, ini akan menjejaskan persiapan saya untuk bertanding apatah lagi temasya Sukan SEA diadakan pada Mei ini,” katanya. – UTUSAN