JOHOR BAHRU: Kekalahan 0-6 di tangan Juara Liga Super musim lalu menjadi pengajaran berguna buat Sarawak United FC untuk memperbaiki kelemahan pasukan yang ditunjukkan pada perlawanan tersebut.
Penolong ketua jurulatihnya, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah berkata, masih banyak ruang yang boleh ditambah baik dalam misi memburu kemenangan pertama bagi saingan liga musim ini.
Katanya, pemainnya sudah beraksi dengan baik pada 15 minit pertama namun kelekaan benteng pertahanan memberi peluang untuk melancarkan serangan dan membolosi benteng pertahanan dengan mudah.
“Kami bermain dengan corak permainan terbuka bagi menguji sejauh mana kekuatan pasukan, perlawanan seperti inilah kita dapat menilai kemampuan pemain sejauh mana dapat hadapi tekanan berdepan pihak lawan yang lebih baik.
“Di sini kita dapat lihat sama ada pemain boleh pegang bola atau tidak ketika dalam tekanan lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan. Kita sudah mencuba yang terbaik namun JDT terlalu kuat untuk kita.
“Ini adalah pengajaran berguna buat pasukan, dari perlawanan inilah kita boleh buat penilaian yang terbaik dan dapat lihat bahagian mana boleh dibaiki, kalau tak cuba kita tak tahu,” katanya pada sidang akhbar.
Ahmad Nurfaizal berkata, perlawanan bertambah sukar buat skuad Kenyalang Emas itu apabila beraksi dengan 10 pemain setelah Raja Imran Shah Raja Amin ditunjukkan jalan keluar setelah mengutip kad kuning kedua.
Jelasnya, sebelum perlawanan bermula lagi emosi pemain sedikit terganggu apabila ketua jurulatih, B. Sathiananthan terpaksa meninggalkan kem Sarawak United apabila berlaku kecemasan saat akhir.
Beliau akui, skuad Sarawak United itu masih belum kuat setelah kehadiran lapan dan sembilan pemain baharu yang masih belum menyesuaikan diri dengan pasukan.
“Benteng pertahanan kita masih belum mantap, boleh lihat gerakan dan serangan JDT boleh lolos dengan mudah. Bagaimanapun, ini boleh ditambah baik selepas ini,” ujarnya.