QATAR : Pelumba Sepanyol, Pol Espargaro dilihat semakin serasi dengan jentera Honda RC213V selepas berjaya menamatkan saingan tempat ketiga pada aksi pembukaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Qatar Ahad lalu.
Pada saingan itu, Espargaro berjaya menguasai sebahagian besar saingan tersebut namun ketinggalan pada penghujung perlumbaan dan terpaksa berpuas hati tempat ketiga selepas tayar motosikalnya mula hilang cengkaman.
Biarpun terlepas peluang untuk mencipta kemenangan namun Espargaro menyifatkan ia adalah permulaan terbaik bagi pasukan Honda selepas hadir dengan jentera pakej juara.
“Apa yang saya boleh katakan ia adalah keputusan yang positif bagi Honda selepas saya dan Marc Marquez kembali memberi tentangan terutama di kelompok hadapan.
“Bagaimanapun, mengakhiri perlumbaan tempat ketiga selepas menguasai sepanjang perlumbaan bukanlah yang kami inginkan tetapi di Qatar kami telah menghantar mesej sebenar bahawa bukan Marquez sahaja mampu menjulang kemenangan bersama Honda.
“Ini bermakna, semua pelumba yang menunggang jentera Honda mampu muncul juara tetapi dengan gaya tunggangan yang berbeza-beza.
“Pada akhirnya, podium ini adalah khas buat Honda kerana mereka telah bekerja keras sepanjang tahun untuk menyediakan jentera terbaik sebelum bermulanya saingan musim 2022 ini,” jelasnya.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba Itali, Enea Bastianini berjaya meraih kemenangan pertama di kelas utama itu bersama Gresini manakala pelumba Afrika Selatan, Brad Binder (KTM) tempat kedua. -AGENSI