GEORGETOWN : Kegagalan Penang FC meneruskan rentak cemerlang yang dipamerkan pada babak pertama antara faktor berkongsi satu mata dengan Melaka United selepas terikat 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, kelmarin.
Perkara itu akui ‘Jurgen Klopp’ Malaysia, Tomas Trucha yang menjelaskan babak pertama berlangsung dengan baik namun pasukannya hanya mampu beraksi mantap dalam tempoh 45 minit pertama sebelum ‘hilang punca’ selepas bersambung babak kedua.
Jelas jurulatih dari Republik Czech itu, pasukannya berjaya mengikut strategi permainan yang dirancang namun ia gagal diteruskan selepas rehat.
“Babak pertama mengikut perancangan kerana kita mahu mengawal permainan, menguasai bola dan sabar untuk mencipta peluang. Kita terus bermain seperti ini dan hasilnya, kami berjaya mendapatkan gol.
“Saya rasa kalau pengadil lebih berani untuk memberikan sepakan penalti kerana insiden Danial Ashraf, kita akan mendahului 1-0 tetapi kemudiannya kita membuat kesilapan.
“Kita memberikan sepakan percuma dan sepakan sudut yang tidak sepatutnya dan mereka dapat menjaringkan gol. Sepatutnya kita mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa.
“Bukan tuah kami untuk dapatkan jaringan tambahan sehinggalah memasuki babak kedua perlawanan. Pemain melakukan kesalahan yang tidak dijangka dan gagal kawal rentak permainan.
“Memang tidak gembira dengan keputusan perlawanan malam tadi (kelmarin) kerana kami sepatutnya menang di laman sendiri di hadapan penyokong,” katanya yang akan berusaha meningkat tahap permainan dan memperbaiki kekurangan dalam pasukannya.
Pada perlawanan itu, skuad Harimau Kumbang mendahulu 1-0 pada minit ke-27 hasil ledakan Danial namun kepten pasukannya, Abdul Latiff Suhaimi menjaringkan gol sendiri selepas
tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-40.
Sementara itu, pengendali Melaka United, Risto Vidakovic Savic berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan kesebelasan pemain berbanding perlawanan menentang Petaling Jaya City pada aksi pertama liga.
“Umum mengetahui kami mula persiapan lewat dan tak mungkin dapat memberikan 100 peratus, namun hari ini (kelmarin) pemain berjaya menampilkan aksi cemerlang mereka ketika menentang pasukan Penang FC di tempat lawan.
“Memang puas hati melihat perlawanan itu kerana mereka beraksi dengan lebih baik terutama pada masa kedua. Banyak peluang yang mereka dapat dan cukup membuktikan mereka mula mendapat rentak permainan,” jelasnya.