PETALING JAYA : Penyerang Skuad Projek FAM-MSN, Muhammad Haikal Sahar mengharapkan jaringan hatrik yang dilakukan dalam aksi pusingan pertama Piala FA, kelamrin mampu membuktikan kualiti yang ada pada dirinya untuk melangkah lebih jauh.
Meskipun skuad Projek FAM-MSN kehilangan penyerang berbisa, Azhad Harraz Arman yang kini bersama Sabah FC, tetapi pasukan ini nyata masih mempunyai barisan pemain lain yang mampu menyerlah pada musim ini.
Ini terbukti apabila Haikal berjaya mencuri tumpuan dengan tiga jaringan menarik yang dilakukan untuk membantu pasukan menang ke atas Tok Janggut Warrios FC dengan keputusan 5-1.
Jelas pemain berusia 19 tahun ini, misinya sudah pasti untuk turut sama mengikut jejak langkah Azhad yang kini bersama pasukan Liga Super sambil berazam ingin meledak lebih banyak jaringan selepas ini.
“Ini rezeki doa daripada ibu bapa, sokongan daripada rakan sepasukan juga dan walaupun saya baru pulih selepas positif COVID-19 tempoh hari, memang ada rasa lemah sikit tapi lama-lama dah dapat balik kecergasan.
“Azam saya bukan untuk itu sahaja (menjaringkan gol) tetapi saya nak tunjukkan yang walaupun saya masih muda tapi saya boleh beraksi dengan cemerlang.
“Saya kalau boleh nak pergi lebih jauh dan kalau ada rezeki InsyaAllah mungkin selepas ini dapat mencuri tumpuan dengan lebih cemerlang,” jelasnya.
Selepas ini, Skuad Projek FAM-MSN akan berdepan Kelantan FC pada Jumaat ini dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.