IPOH: ATM Guardians mahu memastikan rentak cemerlang apabila muncul juara Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2021/22 diteruskan dalam saingan peringkat Piala Juara-juara di Johor nanti.
Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah berkata, ini kerana rekod pasukannya tidak begitu baik dalam saingan peringkat Piala Juara-juara kejohanan itu.
Menurutnya, namun kejuaraan STL Premier yang disahkan lebih awal musim ini, menjadi suntikan semangat kepada pemain untuk meneruskan kecemerlangan pada saingan di Johor nanti.
“Kalau ikutkan, dari pusingan awal saingan lagi saya tak menjangkakan kami boleh muncul juara awal iaitu semingg sebelum minggu terakhir kejohanan.
“Secara keseluruhannya, dari segi permainan kami musim ini tidaklah jauh bezanya dengan musim lalu tapi mungkin faktor pasukan-pasukan lain lambat hendak mendapatkan rentak, jadi kami mengambil peluang itu untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal.
“Selepas muncul juara Premier, fokus kami ialah saingan Piala Juara-juara, satu saingan yang saya sifatkan sebagai cukup mencabar, berbeza dengan saingan di peringkat Premier,” katanya.
Menurutnya, pasukan akan memberi rehat seminggu kepada para pemain sebelum memulakan saingan di Johor.
Katanya, ini bagi membolehkan para pemain bertemu keluarga masing-masing kerana sepanjang sebulan saingan premier, mereka tidak berkesempatan untuk berbuat demikian.
“Selepas itu, pemain akan menjalani latihan persediaan ke Johor dan saya tidak menjangkakan perubahan besar dalam latihan untuk ke Piala Juara-juara kerana masa agak terhad pada ketika itu, kita perbaiki apa yang kurang sahaja.
“Saya juga tidak bercadang untuk membuat rombakan dalam kalangan pemain,” katanya.
Menurutnya, saingan Piala Juara-juara berbeza berbanding peringkat liga kerana pasukan lain dijangka membuat rombakan pemain dengan mendapatkan khidmat pemain daripada pasukan yang tidak layak untuk saingan di Johor.
Katanya, selain itu, pasukan lain juga mendapat rentak pada penghujung saingan liga dan diramal akan memperagakan aksi sebenar dalam saingan Piala Juara-juara.
“Pasukan KL Thunder umpamanya, mereka hanya mendapat rentak di penghujung saingan Premier. Dengan barisan yang mereka miliki, pada saya mereka adalah calon juara Premier, mereka sudah pasti akan bangkit dengan permainan sebenar di Johor nanti.
“Bagi ATM, jika layak ke pentas final di Johor nanti, itu sudah pasti merupakan satu bonus buat kami kerana rekod kami dalam saingan Piala Juara-juara tidak berapa baik.
“Harapan saya, kami mahu membawa moral dan semangat menjuarai saingan Premier ke Johor nanti,” katanya.