Dulu jual 60 biji, sekarang jual 60,000 pau seminggu

Dulu jual 60 biji, sekarang jual 60,000 pau seminggu

SELAIN menyasarkan untuk memperluas pakej ‘street food’ kepada peniaga-peniaga kecil, Herda Nezuantye Johan juga berhasrat perniagaan pau yang diusahakannya dapat menembusi pasaran Sabah dan Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Sekitar enam tahun yang lalu, wanita ini cuma mampu mengeluarkan modal sebanyak RM100 untuk memulakan perniagaan pau selepas bisnes kek yang diusahakannya sebelum itu gagal.

Ketika itu juga, Herda Nezu­antye Johan, 40, hanya mampu menjual kira-kira 60 biji pau perisa ayam cendawan dalam seminggu yang dihasilkan sen­diri dari rumah.

Bagaimanapun, berkat kesabaran ibu kepada tujuh cahaya mata itu, perniagaan pau yang diusahakan atas jenama Pau Abah itu kini mula mendapat tempat dan mampu terjual purata 60,000 biji seminggu.

Menurut Herda Nezuantye, selain ayam cendawan, Pau Abah ketika ini turut menawarkan sehingga 12 perisa lain termasuk kacang merah, seri kaya, kari ayam, kari daging, sambal bilis, kelapa gula merah, coklat, rendang daging dendeng dan sebagainya yang dijual dalam bentuk sejuk beku.

“Alhamdulillah, sambutan yang saya terima sangat memuaskan dengan pau perisa kacang merah dan seri kaya paling tinggi sambutannya,” kata anak kelahiran Labuan, Sabah itu ke­pada Utusan Malaysia di sini semalam.

Selain boleh dikukus, keunikan Pau Abah juga boleh digo­reng sebelum dinikmati serta saiznya yang besar dan padat.

Jelas pemegang Diploma Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, ketika ini, dia mempunyai kira-kira 100 ejen yang membantu memasarkan produk makanan itu di seluruh semenanjung.

“Ada juga produk pau sejuk beku kami yang kini diletakkan di kedai serbaneka di stesen-stesen minyak termasuk Shell, kedai-kedai runcit serta mini market.

“Malah, kami telah mula memasarkan menerusi platform Shopee sejak awal tahun ini,” katanya yang mendapat inspirasi daripada arwah bapa tirinya yang meninggal dunia akibat kanser untuk memulakan perniagaan pau tersebut.

Herda Nezuantye juga boleh berbangga apabila hasil usaha gigihnya, Pau Abah kini mampu merekodkan jualan antara RM80,000 hingga RM100,000 sebulan.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, kami akan mula memasarkan produk kami ke Sabah dan Sarawak tahun depan kerana sudah ada permintaan,” katanya yang turut membantu peniaga dan pengusaha kecil lain di kawasan itu memasarkan lebih 100 produk makanan lain di kedainya di Taman Pekaka di sini.

Dalam pada itu, Herda Nezuantye berkata, selain menjual pau dalam bentuk sejuk beku, dia turut membuka peluang kepada mana-mana peniaga kecil yang ingin membuka perniagaan sendiri dengan memperkenalkan pakej ‘street food’ atau perniagaan jalanan pada harga berpatutan iaitu sekitar RM1,300.

Katanya, dengan harga tersebut, peniaga terlibat bukan sahaja mendapat lima kotak makanan yang mengandungi kira-kira 360 biji Pau Abah yang belum dimasak, malah mendapat set periuk pengukus, kanopi bersaiz 10×10 serta gegantung untuk mempromosikan makanan tersebut.

“Pada masa ini, kami memiliki seramai 25 orang usahawan ‘street food’ dan menyasarkan membantu sehingga 100 peniaga kecil melalui pakej tersebut sepanjang tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN