KUALA LUMPUR : Pihak pengurusan Awesome TV hari ini mengambil keputusan untuk menggugurkan Azwan Ali daripada tugas pengacaraan bagi program realiti MIC ON! berkuatkuasa serta merta.
Sehubungan dengan itu, pentas utama MIC ON! yang akan berlangsung pada hari Jumaat ini akan dikendalikan secara solo oleh pengacara bersama sedia ada, Issey Fazlisham.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan keseluruhan program MIC ON! untuk musim ini dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terlibat.
“Perlu ditegaskan di sini bahawa pihak Awesome TV tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang hal-hal berkaitan dengan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak sama ada di kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terlibat dengan program-program terbitan kami.
“Pihak Awesome TV juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku atau gangguan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian.
“Tindakan keras akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran integriti prinsip tersebut,” menurut kenyataan hari ini.
Untuk makluman, “MIC ON!” yang bersiaran pada setiap hari Jumaat jam 9.00 malam di saluran Awesome TV (Astro 123) atau MyTV (112) merupakan sebuah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian komedi terbitan Awesome TV yang menampilkan tiga figura seni tersohor tanah air, Dato’ Awie, Dato’ Hattan dan Mas Idayu sebagai Juri Tetap.
Terdahulu, seramai 15 peserta berjaya diserap masuk untuk bersaing di konsert mingguan MIC ON! musim kedua bagi merebut gelaran juara.
Kesemua mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro yang menggalas tanggungjawab selaku ‘Manager’ untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada para peserta.