Calon PH kecewa bahan kempen dirosakkan

Calon PH kecewa bahan kempen dirosakkan

YEO Tung Siong berdiri berhampiran bahan kempennya yang telah dikoyakkan di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas daripada Pakatan Harapan (PH) Yeo Tung Siong kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan papan iklan kempennya di Kampung Melayu Raya, dekat sini, malam tadi.

Menurut Tung Siong, sejurus mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pekan Nanas supaya tindakan diambil oleh pihak berkuasa mengenai kejadian tersebut.

Katanya, beliau tidak sesekali berdendam dengan tindakan khianat itu, tetapi kecewa dengan sikap tidak matang sesetengah pihak dalam berpolitik sehingga sanggup merosakkan bahan kempen parti yang bertanding.

“Ia bukan papan iklan berbentuk provokasi, tetapi menjelaskan apa yang telah dilakukan bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Melayu Raya dengan kerjasama Syarikat Perladangan Sime Darby.

“Selepas pembinaan parit bagi mengalirkan air terus ke sungai berhampiran, masalah banjir telah dapat diatasi dan penduduk yang selama ini terjejas dengan banjir telah mendapat manfaatnya,” katanya di sini, hari ini.

Tung Siong meminta semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bersikap terbuka dan bertanding dengan sihat tanpa merosakkan bahan-bahan kempen parti yang bertanding.

“Selepas kejadian ini, saya akan membuat papan iklan yang lebih besar di kawasan tersebut untuk memberitahu mana-mana pihak supaya tidak mengulangi perbuatan yang sama,” ujarnya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 10.44 malam daripada Balai Polis Pekan Nanas.

Katanya, laporan tersebut menyatakan terdapat satu kes bunting berukuran lima kaki tinggi dan 10 kaki lebar telah dikoyakkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab di Simpang Tiga, Jalan Rizab 1, Kampung Melayu Raya.

“Anggaran kerosakkan adalah sebanyak RM1,000. Setakat ini tiada saksi bebas tampil memberi maklumat berkaitan kejadian bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan merosakkan harta benda dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya