IPOH: Pemilik Perak FC, Impact Media and Communication (IMC) Sdn.Bhd digesa membayar gaji pemain selewat-lewatnya hari ini.
Ini kerana Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) bercadang mengambil tindakan drastik ke atas pemilik kelab itu.
“Jika gaji tidak dibayar hari ini, kami akan membuat laporan polis serta serah memorandum dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM),”kata Setiausaha TBG Mops, Hakimi Helmi.
Beliau mengadakan perjumpaan solidariti kelab penyokong untuk mengumpul dana di sini malam semalam.
Hakimi berkata, penyokong Perak tidak mahu ditipu lagi oleh IMC.
“Cukup-cukuplah IMC menipu peminat, mereka sebenarnya tidak ada duit. Jika ada, sudah tentu tidak berlaku gaji pemain tertunggak selama dua hingga tujuh bulan dan sewa rumah dibayar .
“Sekarang yang susah adalah pemain terutama pemain Piala Presiden dan Belia,” katanya.
Hakimi berkata, TBG Mobs mahu membuat laporan polis terhadap IMC jika tidak menyelesaikan isu gaji pasukan itu hari ini.
“Sebenarnya mereka tidak ada duit. Peminat Perak rasa IMC ini hanya menipu dan cuba ‘menangguk di air keruh’,” ujarnya.
Katanya, penyokong Perak sudah hilang sabar dengan IMC dan mahu ia keluar dari di pejabat Perak FC di Menara SSI di sini.