PARIS : Barcelona bersama Pierre Emerick Aubameyang yang kembali menemui sentuhan tajam serta Sevilla akan mengetuai cabaran Sepanyol dalam saingan 16 akhir Liga Europa, Jumaat ini.
Sevilla akan menanti kunjungan kelab England, West Ham untuk perlawanan pusingan pertama, manakala Barcelona bakal berdepan wakil Turki, Galatasaray di Camp Nou.
Juara Eropah lima kali, Barcelona masih lagi sedang menyesuaikan diri untuk beraksi di kejohanan tahap kedua di benua itu selepas tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun.
Mereka akan berdepan Galatasaray di Camp Nou selepas mempamerkan peningkatan apabila mencatat empat kemenangan berturut-turut termasuk ketika mengetepikan Napoli 4-2 di tempat lawan di pusingan sebelum ini.
Mereka sekarang ini berada di tangga ketiga La Liga dan belum pernah kalah dalam saingan liga sejak Disember, dibantu dengan pembelian pemain pada jendela perpindahan Januari selepas mereka mendapatkan, Aubameyang dari Arsenal, Ferran Torres dan Adama Traore.
Aubameyang dan Torres sudah menjaringkan tujuh gol di antara mereka dalam lima aksi terakhir Barca.
“Kami sudah mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dan ia sudah lama tidak berlaku.
“Pemain sentiasa percaya dengan apa yang mereka lakukan. Kami berada di landasan terbaik,” kata pengurus Barca, Xavi.
Sevilla, yang muncul juara Liga Europa empat kali dalam lapan musim terakhir, akan berdepan West Ham.
Peluang The Hammers untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) sedikit goyah, selepas Arsenal sekarang menjadi calon selesa untuk memburu slot terakhir ke Liga Juara-Juara.
Kapten West Ham, Mark Noble berkata, semangat melawan ketika tumpas kepada Liverpool 0-1 Sabtu lalu mampu memulihkan keyakinan mereka selepas turut tersingkir di Piala FA. – AGENSI