Babak tak penting, untuk apa dipotong? - Utusan Malaysia

Babak tak penting, untuk apa dipotong?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP naskah yang dipertontonkan kepada khalayak pasti ada mesejnya. Bergantung, sekadar hiburan atau bermotifkan pengajaran.

Naskhah yang diterbitkan di kaca televisyen (tv) atau di panggung wayang, ada klasifikasinya. Antaranya, 18-SG, 18-SX, 18-PA dan 18-PL. Pendek kata, cerita itu sesuaikah tidak untuk ditonton?

Bagaimanapun, setiap drama atau filem akan ditapis Lembaga Penapisan Filem (LPF).  Adakalanya, babak atau dialog yang dipotong akan mencacatkan cerita.

Situasi itu menarik perhatian Pancaindera untuk mendapatkan pandangan pemain industri hiburan berhubung isu tersebut.

Produksi dan LPF perlu cari titik tengah – Afiza Asram

Penulis skrip dan pengarah, Afiza Asram berpandangan perkara tersebut sebenarnya bergantung kepada budi bicara. 

“Sudah pasti, pihak produksi dan stesen TV berbincang tentang hala tuju sesebuah drama itu. Kelompok penonton sasaran dan platform itu ia disiarkan? 

“Jadi dalam isu ini, penulis dan pengarah perlu memainkan peranan sekiranya untuk dipertontonkan kepada umum dan keluarga.

“Pada waktu begini, penulis dan pengarah boleh menggunakan kreativiti mereka jika benar-benar ada babak dan dialog yang menyentuh sensitiviti penonton,” jelasnya.

Begitu pun, hal itu tidak menjadi masalah bagi pengarah dan penulis filem, kerana filem lebih terbuka dan bebas berbanding drama. Cara penapisan juga berbeza  berbanding medium tv.

Jelas Afiza lagi, filem perlu ditapis LPF kerana ada syarat yang pembuat filem perlu patuhi.

“Malaysia mempunyai Akta Penapisan Filem untuk memastikan filem-filem kita tidak melampau batas.

“Tetapi filem masih ada ruang berbanding drama. Sebab itu filem masih ada babak bunuh, gaduh, seks, rokok, politik. Tetapi tidak keterlaluan. Perkara itu bergantung kepada budi bicara  LPF dan produksi,” katanya.

“Sekiranya penapisan mengganggu jalan cerita, pihak produksi dan LPF perlu mencari titik tengah supaya filem itu ditayangkan tanpa menghilangkan esen cerita,” ujarnya.

Pemotongan babak dibuat bersebab – Ghaz Abu Bakar

Pengarah tersohor, Ghaz Abu Bakar berpandangan pemotongan satu-satu babak dalam filem atau drama tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya dilakukan atas faktor-faktor tertentu yang dilihat perlu oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).

Kata Ghaz, tindakan tersebut adalah satu perkara normal yang berlaku dalam penghasilan filem dan drama, yang pada masa yang sama dapat mengawal kandungan agar tidak menimbulkan masalah dikemudian hari.

“Pemotongan babak dibuat bersebab, yang dilakukan ketika proses penapisan LPF atau jawatankuasa tertentu yang dibentuk oleh stesen penyiaran. 

“Ia dilakukan apabila satu-satu babak itu dinilai sebagai tidak sesuai untuk tontonan umum.

“Banyak faktornya. Antaranya mungkin berkait soal jenama, atau tingkah laku satu-satu watak yang tidak bersesuaian dan kehendak stesen televisyen,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ghaz berpendapat pihak produksi tidak mempunyai pilihan, selain menayangkan sahaja produk mereka meskipun terdapat pemotongan babak yang mencacatkan penceritaan.

“Ada pihak produksi yang ralat untuk melakukan rakaman semula babak-babak yang dipotong kerana mengejar masa lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik sekarang ini. 

“Jadi mahu atau tidak, mereka terpaksa tayangkan juga. Kesannya, penonton akan terperanjat apabila melihat babak yang dipotong dan tergantung,” katanya.

Dalam pada itu, Ghaz juga berpandangan kekangan atau garis panduan yang dibuat LPF mahupun pihak-pihak berkaitan sebenarnya banyak kebaikan dan menjadikan penggiat filem atau drama menjadi lebih kreatif.

“Kalau terlalu diberi kebebasan nanti kita akan buat sahaja apa yang kita mahukan. Kekangan-kekangan ini akan membuat pembikin filem itu berfikir, mencari jalan lain untuk menyampaikan mesej-mesej tertentu dengan cara yang dibenarkan. Dari situ kita lihat, mahalnya kreativiti itu,” katanya lagi.

Pada masa sama, Ghaz juga berpandangan kebebasan sebenarnya membawa kebaikan dan keburukan. 

“Terlalu bebas pun tak elok juga. Kita orang Malaysia, ada sensitiviti yang perlu dijaga. Dari sudut bangsa dan agama.

“Cadangan saya, pihak berwajib wujudkan satu garis panduan yang dapat dirujuk oleh pembuat filem atau drama agar penyampaian jalan cerita serta watak itu bersesuaian dan boleh ditontonkan kepada audiens,” ujarnya.

Setiap stesen televisyen berbeza-beza -Erma Fatima

Bagi pengarah dan pelakon senior, Erma Fatima, perkara berkenaan dilihat kerap berlaku kerana garis panduan setiap stesen televisyen (tv) adalah berbeza-beza.

Menurut pelakon drama Mak Cun itu, pemotongan sesetengah adegan atau dialog atas sebab garis kelulusan had umur daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Tengok stesen televisyen juga. contoh stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak sama dengan TV3 dan juga Astro. Ia berbeza-beza.

“Selain itu, kena lihat waktu tayangan pada pukul berapa. Adakah tayangan berkenaan sesuai untuk seluruh keluarga atau 18 tahun ke atas dan sebagainya.

“Tentang dialog, bagi saya itu lebih kepada stesen tv itu sendiri, waktu ditayangkan serta  bergantung kepada LPF juga,” katanya ketika ditemu bual.

Mengulas lanjut, Erma turut berpendapat penggiat filem tanah air buat masa ini masih lagi tidak berlebih-lebihan dalam berkarya sehingga ada sekian adegan perlu dipotong.

Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada pihak stesen tv yang mengambil keputusan sendiri untuk memotong sesetengah babak yang perlu.

“Saya tidak rasa pembikin filem di Malaysia membuat karya yang melampaui batas kerana mereka juga tahu sejauh mana dilakukan.

“Lihat juga, kalau ada adegan itu yang sepatutnya tak perlu dipotong, tetapi terpaksa dipotong, kelakarlah. 

“Namun sebenarnya, LPF jarang memotong adegan yang perlu dipotong. Tetapi, sebuah adegan yang sensitif selalunya dipotong oleh pihak stesen sendiri,” tuturnya lagi.

Kena ada kehalusan dalam menggarap jalan cerita  – Khir Rahman

Bagi pengarah dan pelakon, Khir Rahman, 49, perihal pemotongan sesetengah babak dalam sesebuah nashkah filem atau drama, mahu atau tidak sebenarnya memaparkan kematangan tamadun selain atas dibuat atas dasar tanggungjawab.

Kata Khir, adakala ia bukan kerana tidak perlu atau sengaja dibuang sehingga menyebabkan penyampaian cerita dilihat tidak sampai kepada penonton. Tetapi, adakala bimbang visual lakonan itu dapat memberi pengaruh kepada masyarakat dan penonton.

“Saya bagi contoh, untuk platform arus perdana, jika babak itu ialah tentang seorang penagih dadah. Dia balut tangan, sedang membakar dan mencucuk tangannya dengan dadah tersebut sebelum kemudiannya menunjukkan reaksi ‘stim’. 

“Babak macam ini tentulah kena sunting sebab ia boleh mendidik. Sebab ia bergambar, visual. Jadi mungkin dicontohi orang. Apabila ia dianggap boleh mendidik dan mempengaruhi, memang selalunya ia akan dipotong.

“Memang ia akan beri kesan pada penceritaan naskah itu, tetapi ada baiknya cara ini kerana ia sebenarnya menguji bagaimana seseorang pengarah atau penulis skrip itu mengolah penceritaan dengan kebijaksanaan mereka,”katanya.

Tambah Khir lagi, seharusnya ia tidak memberikan tekanan kepada mana-mana pengkarya kerana mereka sebenarnya memiliki kebebasan dalam berkarya.

“Jadi pengkarya di Malaysia ini sangat seronok. Bagi saya, bebas adalah senang. Tetapi nak bermasyarakat itu yang susah. Nak jaga hati dalam menyampaikan apa yang anda nak itu yang susah. Kena ada kehalusannya di situ.

“Percayalah, sebenarnya pengkarya di Malaysia ini bebas bercerita. Apatah lagi kita ada pengklasifikasian. Awak bebas. Tapi, persoalannya, awak pandai tak ‘bercerita’?”katanya.

Bagaimanapun, kata Khir, tindakan suntingan babak tertentu itu haruslah ada perbincangan dan bukannya dilakukan secara sesuka hati oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya faham pemotongan itu sesuatu yang biasa dalam jalan suntingan jalan cerita, Cuma, kena ada perbincangan agar semua pihak tahu jawapan yang sihat. Kita faham, pemotongan ini dilakukan dalam mencari sesuatu kebaikan.

“Saya sendiri pun akan potong kalau rasa tak sesuai atau tak perlu. Kecuali babak itu harus juga dilakukan. Tapi selama ini, untuk filem atau naskah-naskah saya, belum ada lagi yang dipotong pihak tertentu,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya