Apa lagi yang mengganggu Zii Jia? - Utusan Malaysia

Apa lagi yang mengganggu Zii Jia?

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada kecederaan atau isu kecergasan, namun apa yang mengganggu Lee Zi Jia sehingga kalah mudah kepada pemain muda Thailand, Kunlavut Vitidsarn menjadi persoalan peminat badminton tanah air.

Kelmarin, jaguh No. 7 dunia itu dikejutkan 13-21, 12-21 oleh pemain ranking ke-20 dunia, Kunlavut, 21, pada separuh akhir Terbuka Jerman di Muelheim.

Kekalahan dalam tempoh 41 minit mencetus keraguan mengenai kemampuan Zii Jia untuk mempertahankan kejuaraan All England yang bakal membuka kempen di Birmingham, Rabu ini.

Zii Jia yang genap 24 tahun pada 29 Mac depan masih gagal memenangi sebarang gelaran sejak kemenangan di All England setahun lalu, malah terus mempamer prestasi ‘yo yo’ biarpun permintaannya untuk bergerak secara profesional sudah dipenuhi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ketika ditanya apakah Zii Jia berdepan masalah kecederaan atau kesihatan sehingga beraksi hambar, jurulatihnya, Indra Wijaya memberitahu Utusan Malaysia: “Semuanya baik setakat ini tapi harus diakui lawan bermain dengan lebih baik hari ini (kelmarin).”

Kata jurulatih kelahiran Indonesia itu, tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai Zii Jia dan pemainnya akan cuba bangkit di All England minggu depan.

Kelmarin, Zii Jia mengalami kekalahan ketiga kepada juara remaja dunia tiga kali, Kunlavut, perkembangan yang amat membimbangkan menjelang pertemuan dengan Kenta Nishimoto dari Jepun dalam aksi pembukaan All England.

Turun sebagai pilihan kelima di Jerman, apa yang membimbangkan aksi tidak melawan Zii Jia ketika kalah kepada Kunlavut, malah perseorangan utama negara itu bernasib baik tidak tewas di bawah 10 mata selepas ketinggalan 9-20 di set kedua.

Lebih membimbangkan, Zii Jia bukan sekadar kalah mudah, malah mampu tewas kepada mana-mana pemain dan bukan sekadar lawan yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Biarpun kecewa dengan kekalahan Zii Jia, Indra percaya, semangat dan kesungguhan anak didiknya akan membawa dia pergi jauh dalam kariernya.

“Motivasinya masih sama dan itu bagus. Bezanya sekarang, Zii Jia sedang mencari dan belajar untuk menjadi lebih konsisten di peringkat tertinggi.

“Saya percaya keinginannya untuk menjadi lebih baik dalam setiap perlawanan akan membawanya jauh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya