PETALING JAYA: Hasrat beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melangkah lebih jauh tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) 2022.
Beregu negara yang menduduki ranking ke-11 dunia itu tunduk kepada pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana 22-24, 21-13, 17-21 pada pusingan kedua All England di Utilita Arena Birmingham sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Yew Sin-Ee Yi gagal memperbaiki pencapaian edisi tahun lalu selepas mereka tewas straight-set kepada beregu Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe 10-21, 19-21 di pusingan kedua.
Kini, wakil beregu lelaki negara cuma tinggal Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan turun ke gelanggang menentang He Jiting-Tan Qiang dari China awal pagi nanti.
Ia selepas juara baharu Terbuka Jerman, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong tumpas kepada lawan masing-masing di pusingan pertama semalam. –UTUSAN ONLINE