PETALING JAYA : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita dan bangga dengan kejayaan atlet olahraga negara, Shereen Vallabouy yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan tahniah kepada Shereen atas kejayaan beliau memecahkan rekod kebangsaan acara 400 meter (m) di Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCCA), Amerika Syarikat pada 12 Mac lalu.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada beliau dan para atlet kebangsaan lain untuk terus bekerja keras mencapai kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di kejohanan-kejohanan mendatang.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Shereen dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” menurut hantaran itu, semalam.
Shereen meraih emas selepas melakukan larian dengan catatan masa 53.79 saat (s) dan lebih manis kejayaan itu turut memadam rekod kebangsaan berusia 16 tahun milik Noraseela Mohd Khalid dengan catatan 54.58s bagi acara 400m dalam dewan.
Dalam masa sama, dia turut memecahkan rekod 12 tahun bagi Northern Sun Intercollegiate Conference.
Shereen yang juga anak kepada bekas atlet negara Samson Vallabuoy dan Josephine Mary, kini menuntut di Winona State University, Minnesota dalam bidang rekreasi dan pelancongan.
Sementara itu, kejayaannya turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu.
“Tahniah kepada Shereen. Legasi kejayaan yang diteruskan. Tahniah juga kepada ahli keluarga, khasnya ibu bapanya Josephine Mary dan Samson Vallabouy yang juga bekas atlet kebangsaan atas sokongan kuat kepada Shereen.
“Semoga kejayaan Shereen menjadi inspirasi kepada semua atlet,” kata Faizal.
Shereen sebelum ini merupakan atlet yang mengikuti program latihan ‘Kita Juara’ kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) namun dia memilih keluar daripada program latihan MSN selepas ditawarkan biasiswa NCAA untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat.
Atlet berusia 23 tahun itu, tidak akan beraksi di temasya Sukan Sea Vietnam Mei ini apabila akan terbabit dengan peperiksaan ketika temasya dwi tahunan itu berlangsung.