LANGKAWI: Seramai 65 mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila tidak sempat menyelamatkan harta benda milik mereka dalam kebakaran melibatkan 17 buah rumah di penempatan haram Bukit Malut di sini semalam.
Seorang mangsa, Hajrah Mohamad, 36, tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya apabila terkenangkan persiapan persekolahan dua anaknya hangus dijilat api dan barangan di dalam kedai runcit miliknya musnah dalam kebakaran tersebut.
“Sekolah nak mula minggu depan, tapi satu apa pun tak sempat selamatkan, semua habis hangus terbakar.
“Rasa sedih sebab hasil titik peluh saya beli barangan sekolah anak, stok barangan kedai musnah sekelip mata,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Rohana Husin, 27, dia hampir tidak dapat menerima hakikat apabila tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran tersebut.
“Rasa macam tak boleh terima kenyataan rumah saya musnah kerana terbakar dan kini tinggal sehelai sepinggang saja.
“Rasa sedih yang tak terucap dengan kata-kata, tambahan pula dengan bulan puasa yang hampir dekat,” katanya.
Saidah Mustafar, 40, dia berkata, sewaktu kejadian, dia baru selesai solat asar dan kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan dia tidak mendengar sebarang bunyi seperti letupan.
“Kami sendiri tidak tahu dari mana kebakaran tersebut bermula, tahu-tahu asap berkepul-kepul dan memenuhi rumah.
“Kami keluar saja dari rumah, api terus menyambar rumah menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata, kebakaran yang berlaku pada pukul 6.47 itu berjaya dikawal dalam tempoh sejam dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.47 malam.
“Rumah yang terlibat dalam kebakaran itu melibatkan kemusnahan antara 40 hingga 95 peratus,” katanya
Beliau menambah, tiada laporan kemalangan jiwa dan kecederaan dalam kebakaran tersebut.
Katanya, setakat ini, punca kebakaran tersebut masih dalam siasatan. –UTUSAN ONLINE