PETALING JAYA : Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyenaraikan 14 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari bermula Isnin ini hingga 22 Mac ini.
Lebih menarik bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim kembali tersenarai dalam usaha memikat hati jurulatih dari Korea Selatan itu untuk beraksi untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 iaitu menentang Filipina (23 Mac), Singapura (26 Mac) dan kelab Singapura, Albirex Niigata Singapore FC pada 28 Mac ini.
Selain itu, nama pemain JDT yang lain dipanggil ialah Shio Hong Wan, Farizal Marlias, Syahmi Safari, Aidil Zafuan Abd. Radzak, Shahrul Saad, Corbin Ong La’vere Lawrence, Syamer Kutty Abba, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Abdul Rashid, Mohamadou Sumareh dan Ramadhan Saifullah Usman.
“Setelah mengambil peluang menghadiri beberapa aksi liga sepanjang minggu, kami telah mengenal pasti kumpulan pemain untuk membentuk barisan berpotensi menjadi teras kepada pasukan kebangsaan Malaysia.
“Berdasarkan perlawanan liga, kami mengenal pasti hampir 70 pemain sebelum mengecilkan jumlah itu kepada pemain yang kami percaya sesuai dengan falsafah permainan dan rancangan taktikal,” kata Pan-gon.
Malah, beliau berkata pemilihan pemain juga dilakukan berdasarkan kesesuaian dengan taktikal dan corak permainan yang akan dimainkan Harimau Malaya.
“Apabila saya memilih pemain, ia adalah sebab taktikal, teknikal dan sikap profesional. Harap semua memahami kerana saya tidak boleh memilih seperti 15 atau 16 pemain yang anda mahu.
“Kami cuba yang terbaik untuk memilih pemain yang sesuai. Saya pun tidak boleh katakan saya 100 peratus betul, kerana saya masih baru.
“Jadi kami akan cuba yang terbaik untuk melakukan lebih pemantauan. Saya memilih pemain untuk menang, saya bukan memilih pemain untuk kalah.
“Mungkin selepas ini kami akan lebih mengenali pemain. Jadi pemain ini yang kami rasakan sesuai buat masa ini, untuk masa depan kita tidak tahu lagi,” jelasnya.