SHAH ALAM: Jurulatih perseorangan wanita negara, Indra Widjaja menjadi pilihan Lee Zii Jia sebagai jurulatihnya bagi membantu jaguh No. 7 dunia itu memulakan kariernya sebagai pemain profesional.
Berita tersebut telah dikongsi oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker menerusi akaun Facebook miliknya.
Keputusan itu dibuat selepas Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd. Yusof meluluskan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia.
Beliau berkata, Indra Widjaja yang bakal menamatkan kontraknya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 31 Mac ini membuka laluan kepada pemain perseorangan utama negara itu mendapatkan khidmat jurulatih dari Indonesia tersebut.
“BAM bersedia menyerahkan jurulatih dari Indonesia ini untuk terus membantu pemain itu dalam karier sukannya.
“Pejabat saya telah membantunya untuk melicinkan proses pendaftaran, permit kerja dan keperluan imigresen.
“Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan Kelab Badminton Lee Zii Jia yang baharu ditubuhkan,” katanya.
Sebelum menggalas tugas sebagai jurulatih perseorangan wanita, Indra pernah membimbing perseorangan lelaki Malaysia sewaktu dia menyertai BAM pada 2015. – UTUSAN