Muhammad Haziq teruja dapat temu bual PM - Utusan Malaysia

Muhammad Haziq teruja dapat temu bual PM

TANGKAP layar daripada video memaparkan Ismail Sabri Yaakob ditemu ramah oleh Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, dalam satu pertemuan khas di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, dari Bukit Selambau, Kedah yang tular kerana membuat ‘laporan’ penangkapan ular sawa berpeluang menemu bual Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu pertemuan khas di sebuah hotel di sini hari ini.

Temu bual selama kira-kira empat minit 30 saat itu dilakukan secara langsung menerusi Facebook kanak-kanak terbabit iaitu Haziq Atan pada petang ini.

Muhammad Haziq pada sesi temu bual secara santai itu mengenakan uniform anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Antara soalan yang diajukan Muhammad Haziq berkaitan makanan dan minuman kegemaran, umur, rutin harian serta perancangan kepada Malaysia jika diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri 10 tahun lagi.

Kanak-kanak itu yang menderita talasemia sebelum ini tular dengan video dia melaporkan penemuan seekor ular sawa batik di dalam longkang di pasar awam pekan itu secara langsung di Facebook (FB) miliknya semalam.

Dalam klip video itu,  dia memaklumkan, ular sewa tersebut ditemukan oleh penduduk selepas mendapati air di dalam longkang tersebut tersumbat.

Aksi kanak-kanak itu ketika membuat siaran langsung FB penemuan ular tersebut mendapat perhatian netizen dalam media sosial.

Sebelum pertemuan dengan Perdana Menteri, Muhammad Haziq dibawa menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya Sungai Petani dekat sini. Dia yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau gembira apabila impiannya untuk menaiki jentera tersebut akhirnya terlaksana.

“Alhamdulillah, saya rasa seronok sangat kerana akhirnya dapat naik jentera bomba yang mana sebelum ini saya hanya tengok di video sahaja,” katanya.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, selain mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang tukang masak, dia juga meminati kerjaya sebagai anggota bomba.

Kanak-kanak terbabit juga merupakan penghidap talasemia dan memerlukan rawatan berkala di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya