UPSI-Universiti Moscow jalin kerjasama  - Utusan Malaysia

UPSI-Universiti Moscow jalin kerjasama 

MD. Amin Md. Taff (tiga dari kanan) memegang dokumen MOU UPSI dan IAAS dalam program secara maya kelmarin. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk akademik dan penyelidikan bersama Institut Pengajian Asia dan Afrika (IAAS), Universiti Moscow, Rusia.

Majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) diadakan kelmarin secara dalam talian menyaksikan UPSI diwakili Naib Canselor, Datuk Dr. Md Amin Md. Taff manakala IAAS diwakili Pengarahnya, Prof. Dr. Aleksey A. Maslov.

Md. Amin dalam ucapannya berkata, UPSI ditubuhkan pada 1997 dan merayakan sambutan ulang tahun ke-100 sejak zaman Kolej Latihan Sultan Idris (SITC).

Beliau berkata, UPSI mencipta pelbagai kejayaan dalam melahirkan pejuang kemerdekaan, pendidik, politikus serta pengarang yang mencorakkan kemajuan negara. 

Menurutnya, memorandum persefahaman yang ditandatangani itu memberi peluang kepada kedua-dua institusi pengajian mewujudkan perkongsian pintar dalam mengembangkan projek penyelidikan dan pembangunan, program pembangunan latihan, program pendidikan, pertukaran kakitangan serta kerjasama dalam penerbitan. 

“UPSI membina Pelan Strategik 2021-2025 yang merangkumi Indeks Prestasi Utama (KPI) bertujuan meningkatkan penglibatan ahli akademik di peringkat antarabangsa.

“Menerusi perkongsian pintar ini diyakini akan memberi peluang kepada UPSI mengembangkan sayapnya di peringkat antarabangsa dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian kepakaran dengan IAAS,” katanya.

Beliau berharap jalinan kerjasama UPSI menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi itu komited memastikan segala perancangan kerjasama berjalan dengan lancar demi kebaikan bersama.

Sidang secara dalam talian itu dihadiri Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Maizura @Mastura Mohamed; Ketua Jabatan Antarabangsa IAAS, Ekaterina Sintsova dan Ketua Jabatan Filologi Rantau Asia Tenggara, Korea and Mongolia IAAS, Prof. Madya Dr. Kukushkina Evgenia Sergeevna.

Sementara itu, Maslov berkata, perjanjian itu membuka peluang yang luas untuk menjayakan pelbagai bentuk program bersama dan dengan pengalaman yang dimiliki bersedia membincangkan pelbagai bentuk kerjasama.

“Saya gembira dengan kerjasama yang bakal terjalin kerana kedua-dua universiti akan mendapat manfaat kepada kakitangan serta mahasiswa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya