LONDON : Pengendali Manchester United, Ralf Rangnick mengkritik anak buahnya kerana bermain secara tiki-taka di kawasan sendiri dan gagal untuk meraih kemenangan menentang Burnley.
The Red Devils terikat 1-1 di Turf Moor apabila penyerang, Jay Rodriguez memadam gol pembukaan Paul Pogba selain jaringan Raphael Varane dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana Harry Maguire melakukan kekasaran ke atas pemain tuan rumah.
United sepatutnya mendahului dengan tiga gol pada separuh masa pertama, namun dua gol tidak dibenarkan dan aksi babak kedua mereka gagal mencipta sebarang peluang.
“Kami tahu mereka akan bangkit pada separuh masa kedua dengan cara permainan yang lebih agresif dan satu perkara yang boleh saya kritik kepada pasukan ialah mereka tidak cukup agresif dalam 20 minit pertama pada babak kedua.
“Kami bermain bola sepak tiki-taka di bahagian kami sendiri dan itu tidak cukup langsung. Kami melakukan serangan balas tetapi membuang bola terlalu mudah di dalam kotak lawan.
“Jika anda melihat, kami mengawal keseluruhan permainan. Menang satu mata tidak cukup dan ia satu lagi keputusan mengecewakan,” kata rangnick.
Bekas pemain United, Rio Ferdinand mendakwa Maguire menjadi punca kepada gol penyamaan Burnley apabila dia melakukan kesilapan dengan keluar daripada barisan pertahanan.
“Tindakan Maguire keluar dari barisan pertahanan terlalu awal dengan memberi asakan tidak sepatutnya berlaku
“Ketika itu, ada Scoot McTominay untuk mencabar bola. Kesilapannya menyebabkan jaringan terhasil,” ujarnya. – AGENSI