KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sedia memainkan peranan penting dengan menjalin hubungan strategik serta bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh bagi merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, fokus kerjasama dan jalinan strategik yang telah dan akan dilaksanakan oleh Unimas turut meliputi kerjasama dalam penyelidikan, konsultasi dan projek keterlibatan dalam masyarakat yang boleh menyumbang kepada kejayaan dalam sektor ekonomi digital, berdaya saing serta berinovasi dalam usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Beliau berkata, Unimas telah meluluskan penubuhan Pusat Data Sains dan dalam proses penubuhan Institutut Penyelidikan dan Inovasi Pelancongan (ITRI).
Selain itu katanya, Unimas juga telah melancarkan Dana Penyelidikan Berimpak Tinggi Naib Canselor bagi menyokong kegiatan penyelidikan berimpak tinggi yang dijajarkan dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS).
Katanya, Unimas juga boleh mengenal pasti keperluan industri untuk tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi melalui penawaran program-program yang berkualiti oleh 10 fakulti yang ada di universiti itu.
Keterlibatan pihak industri dan pemegang taruh dalam pembangunan program-program baharu berdasarkan kehendak pasaran kerja semasa dan juga keperluan masa hadapan mampu melahirkan modal insan yang bukan sahaja memiliki kecemerlangan akademik tetapi sahsiah jati diri serta kemahiran insaniah yang tinggi nilai yang akan dibentuk semasa mengikuti pengajian di Unimas,” katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen Unimas Ke-25 di sini hari ini.
Beliau berkata, dua program baharu akan ditawarkan di Unimas bermula Oktober 2022, iaitu program Sarjana Muda Sains dalam Agroteknologi Dengan Kepujian Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) Dengan Kepujian.
“Universiti mempunyai tanggungjawab besar dalam membina dan membangunkan modal insan yang beretika, berkemahiran, bertanggungjawab serta komitmen yang tinggi.
“Saya percaya tanggungjawab dan amalan ini juga seharusnya dikembangkan dalam kehidupan bermasyarakat oleh para graduan sekalian yang menjadi harapan negara kerana graduan hari ini merupakan penerus kesinambungan kepimpinan negara pada masa hadapan.
“The highest result of education is tolerance.” Dengan tulus ikhlas menadah tangan kepada Allah SWT, saya berdoa agar persaudaraan dan kasih sayang di antara warga Uninas akan terus diperkasakan dan disuburkan bagi membentuk masyarakat yang terbaik, yang dapat menutup semua ruang perpecahan, persengketaan dan perbalahan serta dapat menjamin agenda kecemerlangan” katanya.
Sementara itu, Mohamad Kadim Unimas ke arah mencapai cita cita menjadi sebuah Universiti contoh serta diiktiraf di peringkat antarabangsa; dan sebagai institusi pengajian tinggi yang menjadi pilihan utama golongan pelajar dan akademik melalui pencapaian cemerlang dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan keterlibatan strategik.
Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-25 kali ini menyaksikan 424 orang graduan siswazah, 3, 163 graduan prasiswazah dan 17 orang graduan Diploma Pascasiswazah (Pengajaran dan Pembelajaran) menerima ijazah masing-masing.
“Alhamdulillah, kita juga menyaksikan graduan-graduan sulung daripada program Sarjana Muda Seni Bina, dengan 66 graduan antarabangsa dari 21 buah negara,” katanya
Dalam pada itu, di majlis konvokesyen itu Unimas akan menobatkan empat orang graduan sebagai penerima Anugerah Pro Canselor, Anugerah Canselor dan Anugerah Pelajaran Di Raja (Pingat Jaya Cemerlang) untuk kategori Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan kepada graduan yang bukan sahaja telah mempamerkan kecemerlangan dan kehebatan masing-masing dalam bidang akademik, bahkan telah menyerlahkan bakat kepimpinan dan sahsiah jati diri yang tinggi sepanjang tempoh pengajian di Unimas.
Yang Dipertuan Negeri, yang juga Canselor Unimas Tun Pehin Abdul Taib Mahmud serta Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib. –UTUSAN