ARAU : Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melaksanakan lebih 150 program tanggungjawab sosial universiti (USR) di seluruh negeri ini dari 2019 hingga 2021.
Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli memberitahu, antara program tersebut ialah Lightboard Studio; Perlis Special Teens Centre Independent Living Centre (PesTec -ILC); Seberang Ramai Lestari; Program Kenali Penyakit Anda dan Kursus Bahasa Inggeris Angkatan Tentera Darat Kem Wilayah Utara.
“Program lain Amazing Science 3.0, Projek Tanaman Cendawan Menggunakan Sistem Kelembapan Optimum; Pemasangan Solar dan banyak lagi,” katanya.
Zaliman memaklumkan demikian selepas mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat merasmikan Pameran Fotografi berjudul ‘Reflection’ oleh Jasni Hashim @ Ved Vedder di Galeri Bangunan Canselori Unimap di Kampus Alam Pauh Putra di sini hari ini.
Jasni yang merupakan seorang jurutera yang berkhidmat di Jabatan Pembangunan Unimap sejak 2003 memanfaatkan masa di luar waktu kerjanya untuk berkarya melalui lensa kamera dengan merakamkan keindahan alam semula jadi terutama ketika matahari naik dan juga terbenam.
Tambah Zaliman, program PesTec -ILC yang dilaksanakan Unimap adalah khusus bagi mendidik remaja dan belia orang kurang upaya (OKU) dengan keperibadian, identiti dan nilai-nilai kerohanian menangani masalah sosial.
“Di samping itu, ia untuk melatih remaja dan belia OKU dengan kemahiran vokasional bagi memudahkan mereka hidup dalam masyarakat secara bebas dan menyumbang kembali kepada masyarakat dalam aktiviti ekonominya.
“Dalam zaman pandemik ini, Unimap juga turut berkongsi kepakaran melalui program Lightboard Studio berfokus kepada para pelajar yang terpaksa belajar secara dalam talian dan rata-rata mereka menghadapi masalah untuk mengadaptasi situasi berkenaan.
“Program ini adalah untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran dalam talian supaya lebih inovatif dan menarik,” katanya. – UTUSAN ONLINE