PETALING JAYA : Aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang memaklumkan dia disahkan positif kategori empat dan kini berada di Hospital Serdang untuk menjalani rawatan susulan.
Menurut hantaran Facebook, segala urusan pejabat beliau ditutup selama empat hari bermula semalam.
“Semua talian kami juga akan ditutup kecuali ambulans. Kami akan meningkatkan jumlah ambulans Covid-19 kepada dua buah, memandangkan lebih ramai yang kena Covid-19.
“Untuk Covid-19, hubungi 012-423360. Untuk ambulans, sila hubungi 011-55052148,” katanya.
Dalam pada itu, Uncle Kentang berkata, dia tetap menjalankan urusan bantuan meskipun sedang menjalani rawatan.
Dia kemudian merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakannya agar kembali sembuh.
“Beribu mesej masuk mendoakan saya sembuh. Kini saya tak sempat jawab. Apabila sembuh saya akan balas mesej anda,” katanya. -UTUSAN ONLINE