Umrah: Tarikh tidak ubah, patuh SOP - Utusan Malaysia

Umrah: Tarikh tidak ubah, patuh SOP

KERATAN laporan Utusan Malaysia baru-barui ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada perubahan tarikh bagi perjalanan umrah yang telah ditetapkan bermula 8 Februari ini seperti yang dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari lalu.

Menurut sumber Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) kepada Utusan Malaysia, kementerian berkenaan telah menggariskan prosedur operasi standar (SOP) baharu untuk melindungi jemaah umrah.

“Setakat ini tiada perubahan dalam soal tarikh kerana semua itu (tarikh 8 Februari) telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan MOTAC juga telah menggariskan beberapa SOP baharu untuk umrah.

“SOP tersebut telah diluluskan dalam mesyuarat teknikal dan akan dibawa ke Mesyuarat Kuartet untuk dimuktamadkan. Sebenarnya (SOP) telah dinyatakan oleh Menteri MOTAC dalam kenyataan baru-baru ini.

“Bagi sebarang pengesahan tentang perkara ini (SOP baharu), kita perlu tunggu Mesyuarat Kuartet terlebih dahulu,” katanya .

Menurutnya lagi, proses memuktamadkan SOP baharu mengambil kira kepentingan semua pihak secara holistik termasuk mengimbangi akti­viti umrah dengan pelaksanaan prosedur protokol kesihatan dan keselamatan yang lebih rapi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kebimbangan Pre­siden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Salim mengenai kebenaran menunaikan umrah bermula 8 Februari.

Katanya, kebimbangan itu timbul kerana terdapat percanggahan berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan berhubung penilaian risiko perjalanan yang hanya dapat dimuktamadkan kerajaan menjelang pertengahan Februari.

Pada 29 Januari lalu, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, antara SOP umrah ialah memastikan jemaah lengkap vaksinasi dan wajib mengambil dos penggalak demi keselamatan dan kesejahteraan jemaah.

Nancy berkata, pihaknya juga mahu setiap jemaah dilindungi oleh insurans yang memberi perlindungan kesihatan termasuk keperluan rawatan, isolasi dan kuarantin bagi jangkitan Covid-19 semasa di Arab Saudi dan semasa pulang ke Malaysia.

Selain itu katanya, kementerian mahu syarikat pengendali umrah bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada jemaah mengenai tanggungjawab, tatacara, liabiliti dan arahan-arahan sepanjang perjalanan umrah jemaah.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya