UMP perkenal Skim Insentif Penerbitan buat pelajar pascasiswazah - Utusan Malaysia

UMP perkenal Skim Insentif Penerbitan buat pelajar pascasiswazah

ABDUL AZIZ Abdul Rahman (tengah) bersama sebahagian penerima Anugerah Skim Insentif Penerbitan UMP sambil diperhatikan oleh Profesor Datuk Ts Dr. Yuserrie Zainuddin (empat dari kiri) di UMP Kampus Gambang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkenal Skim Insentif Penerbitan sebagai galakan buat pelajar pascasiswazah di institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit menghasilkan artikel penyelidikan berkualiti tinggi sebagai usaha menjadikan universiti itu bereputasi antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP berkata, insentif itu bagi memberikan penghargaan dan menggalakkan para penyelidik yang menghasilkan penerbitan artikel memberi impak tinggi serta berindeks Scopus.

“Yayasan UMP memperuntukkan RM30,000 bagi Skim Insentif Penerbitan ini khusus buat pelajar antarabangsa yang menghasilkan artikel. Insentif ini turut dimanfaatkan oleh pelajar pascasiswazah tempatan hasil kerjasama pihak institut pengajian siswazah (IPS).

“Penyelidikan dan penerbitan artikel berkualiti memberi kesan positif terhadap bidang penyelidikan di UMP dan mengharumkan nama universiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berharap insentif itu dapat memupuk minat pelajar menulis artikel berkualiti dan penemuan pengetahuan serta teknologi baharu.

Sementara itu, penerima anugerah, Vorathin Epin yang merupakan pelajar Doktor Falsafah (PhD) Mekanikal mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada UMP atas insentif diberikan.

“Dengan insentif ini akan membakar semangat pelajar pascasiswazah untuk terus menulis artikel,” ujarnya yang telah menghasilkan artikel tentang penderia gentian kaca/

Rakannya, Putri Nur Farhana Mohd. Shamsuddin, 28, yang merupakan pelajar Sarjana Sains pula melahirkan rasa terharu dan syukur apabila artikelnya terpilih untuk menerima insentif tersebut. 

Pada awalnya, dia hanya menghantar artikel atas saranan sahabatnya dan tidak menyangka terpilih menerima insentif. 

“Artikel saya tentang penyelidikan dalam bidang kenderaan tanpa pemandu dan lebih fokus kepada kenderaan permukaan air. Penyelidikan ini menjurus kepada sistem navigasi kenderaan permukaan air tanpa pemandu untuk menjejak objek di atas air,” katanya.

Seramai 75 pelajar dipilih menerima sumbangan Skim Insentif Penerbitan Yayasan UMP tersebut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya