Ular keluar sarang musim panas - Utusan Malaysia

Ular keluar sarang musim panas

ULAR sawa batik seberat 35 kilogram yang ditangkap anggota APM di Taman Bukit Kayangan, Perlis baru-baru ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Musim panas dan kering di Perlis antara November hingga April mengundang ancaman ular berbisa yang mula keluar sarang bagi mencari perlindungan dan makanan sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk khususnya yang tinggal di kawasan berbukit dan sawah padi.

Ketika ini, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri ini antara paling ‘sibuk’

melakukan kerja-kerja menangkap ular dan dalam tempoh tidak sampai dua bulan tahun ini, sebanyak 217 kes direkodkan dengan purata antara enam hingga tujuh kes sehari.

Malah, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 10,701 kes tangkapan ular direkodkan di negeri ini khususnya membabitkan ular sawa, tedung senduk, tedung selar, rusuk kerbau, sawa burung dan pelbagai lagi.

Jumlah tangkapan ular sepanjang tempoh lima tahun itu terus menunjukkan peningkatan dengan 2017 merekodkan 1,504 kes; 2018 (1,658 kes); 2019 (2,148 kes); 2020 (2,387) dan 2021 sebanyak 2,787 kes.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Izaimi Md. Daud berkata, lazimnya panggilan kecemasan diterima berkaitan kes tangkapan ular adalah pada musim panas antara November hingga April.

MOHD. IZAIMI MD. DAUD

Mohd. Izaimi berkata, aduan berkaitan kes ular selalunya dilaporkan di sekitar Arau dan Padang Besar iaitu lokasi-lokasi berhampiran kawasan padi dan berbukit.

Katanya, reptilia tersebut kebiasaannya akan keluar dari habitatnya untuk mencari kawasan lebih sejuk dan lembab untuk berlindung.

“Faktor-faktor ular keluar sarang pada musim panas ini antaranya cuaca yang terlampau panas mencecah 36 sehingga 40 darjah celsius.

“Antara faktor sampingan lain habitat reptilia tersebut terganggu (aktiviti pertanian), habitat diceroboh dan dimusnahkan atau berlaku kebakaran selain ular keluar mencari makan di luar habitat kawasan pertanian,” katanya.

Tambah Mohd. Izaimi, pada musim panas, kebanyakan ular akan mencari tempat perlindungan yang sejuk dan lokasi reptilia berkenaan berteduh seperti lokasi kediaman yang mempunyai ruangan tertutup seperti rak kasut, saluran paip dan siling rumah.

“Terdapat tiga jenis ular yang sering kali ditangkap oleh APM Perlis antaranya seperti ular sawa, ular rusuk kerbau, ular tedung senduk dan ular sawa burung.

“Ular paling besar pernah ditangkap APM adalah seperti ular sawa seberat 60 kilogram di Utan Aji, pada 2019. Selain itu, ular tedung selar seberat 10 kilogram di belakang sebuah sekolah di sini pada 13 Januari lalu. Ular-ular yang ditangkap ini diserahkan kepada Jabatan Perhilitan dan taman ular,” katanya.

Kata Mohd. Izaimi lagi, seramai 18 anggota bagi setiap pusat kawalan operasi iaitu di Kangar, Arau dan Padang Besar terlibat dalam penugasan menangkap ular di negeri ini.

“Kekuatan anggota bagi penugasan menangkap ular ini mengikut shif iaitu enam anggota bagi setiap shif. Sehari kita ada tiga syif dengan anggota sentiasa berada dalam keadaan siap sedia apabila menerima panggilan kecemasan kes menangkap ular ini,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan pintu sentiasa tertutup khususnya di bahagian dapur kerana ular akan mencari kawasan berlindung di tempat-tempat yang tidak ada orang.

Katanya, selain itu, pastikan tidak ada semak di sekeliling rumah kerana lokasi seperti kawasan semak itu juga menjadi tempat ular berehat yang terlindung daripada pandangan manusia.

“Pastikan di dalam rumah sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih. Misalnya di bawah almari, perabot, kabinet dapur serta pastikan bawah katil tidak berselerak.

“Hal demikian kerana ular sangat gemar bersembunyi di tempat gelap dan selamat daripada penglihatan manusia. Jika keadaan kemas tersusun, ular akan berasa tidak selamat kerana mudah dijumpai manusia,” katanya.

Bimbang ancaman ular

Setiap kali musim panas penduduk khususnya yang tinggal di kawasan sawah padi diulit kebimbangan ancaman ular berbisa yang memasuki rumah dan sekitarnya bagi mencari lokasi perlindungan atau tempat lebih sejuk.

Malah, ada dalam kalangan penduduk sudah biasa dengan kejadian ular memasuki rumah melalui lubang-lubang di bilik air sehingga beberapa kali dalam tempoh musim panas antara Disember hingga April.

Seorang penduduk dari Utan Kandis, Hafizuddin Ahmad, 37, berkata, apabila melihat kelibat ular, lazimnya mereka menghalau sendiri reptilia tersebut dengan buluh dan mengelak membunuhnya di dalam rumah.

Katanya, ular senduk antara yang paling sering ditemukan melingkar di bawah-bawah pasu, kayu termasuk di bahagian dapur rumah.

“Selalunya ular keluar sarang ini musim panas antara bulan Disember sehingga March atau April. Ular selalunya akan keluar mencari tempat sejuk, tempat ada air dan mencari makan.

“Lazimnya, rumah-rumah berhampiran bendang atau kawasan semak menjadi antara lokasi yang sering ditemukan ular ini. Selalunya, ular ini masuk melalui lubang bilik air jadi kami sentiasa berhati-hati menutup lubang itu,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Tambah Hafizuddin, jika terlihat ular lebih besar dan berbahaya seperti tedung selar, penduduk lazimnya akan menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk kerja-kerja menangkap reptilia berkenaan.

“Kalau ular biasa-biasa ini, kami halau sendiri sahaja menggunakan buluh atau kayu. Ular ini, tidak baik kalau bunuh di dalam rumah, kalau boleh lebih baik halau sahaja,” katanya.

Mohd. Romzi Mohd. Rejab, 45, pula berkata, kelibat ular sering kali kelihatan pada musim panas khususnya di belakang rumah yang terletak di berhampiran kawasan sawah padi.

MOHD. ROMZI MOHD. REJAB menunjukkan kawasan sawah yang sering kali menampakkan kelibat ular di Guar Sanji, Arau, Perlis.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

“Selalunya kelibat ular senduk yang keluar mencari tempat yang lebih sejuk. Kami sentiasa berjaga-jaga dengan mengemas kawasan belakang rumah dan menutup lubang bilik air,” kata pesawah dari Arau di sini.

‘Lalai sesaat, kita mungkin jadi mangsa’

“Lalai sesaat, kita mungkin boleh jadi mangsa patukan ular berbisa,” demikian kongsi seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Siti Zuhana Mat Saad, 40, yang terlibat dengan penugasan menangkap ular di negeri ini sejak lebih 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, cabaran dan risiko tersebut bukan penghalang bagi Siti Zuhana dan rakan-rakan lain menjalankan tugas demi keselamatan penduduk khususnya pada musim panas dengan banyak kes tangkapan ular direkodkan dalam tempoh itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Staf Muda (PA) APM Padang Besar itu berkata, dia mula berkhidmat dengan APM sejak 2007 dan banyak terlibat dengan operasi menangkap ular.

 

SITI ZUHANA MAT SAAD (kiri) menangkap ular tedung selar dalam satu operasi menangkap ular di Bukit Chabang, Padang Besar, baru-baru ini.- UTUSAN

 

Katanya, antara teknik menangkap ular iaitu perlu mengenai pasti jenis ular terlebih dahulu, memerhatikan gerak-geri reptilia berkenaan selain pergerakan perlu pantas ketika operasi menangkap ular khususnya jenis tedung selar.

“Saya banyak terlibat dengan operasi menangkap pelbagai jenis ular antaranya tedung selar, ular sawa dan pelbagai lagi. Pergerakan kita perlu pantas kerana jika terlalai satu saat, kita mungkin menjadi mangsa khususnya ketika berdepan tedung selar.

“Saya selalu berdepan tedung selar yang garang dan agresif khususnya di kediaman-kediaman berhampiran kawasan berbukit. Kadang-kala ular ini duduk di tempat-tempat sukar seperti bawah almari dan sebagainya,” katanya yang telah menangkap lebih 900 ekor ular sepanjang bertugas sehingga kini.

Tambah Siti Zuhana, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan pada tahun 2020 ketika dalam operasi menangkap ular tedung selar di dalam ruang terbuka di sebuah sebuah setor di Titi Tinggi, Padang Besar.

“Ketika itu, saya mengambil ekornya untuk dibawa keluar namun secara tiba-tiba ular tedung selar berkenaan berpatah balik dengan kepalanya mengadap saya. Pada masa itu, saya juga tidak boleh bergerak kerana sudah tidak ada ruang pada masa itu.

“Ular tedung selar berkenaan yang beratkan belasan kilogram itu, sedang panggung separas luput saya sebelum saya melepaskan terlebih dahulu ekornya. Saya kemudian mencari ruang dan menangkap semula ular tersebut.

“Selain itu, antara pengalaman lain ialah menangkap tedung selar yang berada di atas pokok. Pada masa itu, kami mengambil masa lebih sejam bagi menangkap ular tersebut. Lazimnya kerja-kerja menangkap ular ini sekitar 10 hingga 15 minit sahaja,” kata ibu kepada seorang anak itu.

Seorang lagi anggota, Koperal Ahmad Redza Fahmi, 30, yang lebih 12 tahun bertugas dengan agensi itu berkata, dia sentiasa bersedia setiap kali menerima panggilan bagi misi menangkap reptilia tersebut khususnya pada musim panas.

Kata anggota APM Kangar itu, sepanjang tempoh 12 tahun, anggaran ular yang telah ditangkap adalah lebih 800 ekor merangkumi ular jenis tedung senduk, tedung selar, ular sawa dan pelbagai lagi jenis lain.

Ujarnya, setiap kali terlibat dengan tugasan menangkap ular dia tidak berasa terlalu gentar kerana sudah biasa dengan kerja tersebut selain pernah terlibat dengan pertunjukan ular di Taman Ular di sini sekitar tahun 2009.

“Antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah pernah digigit ular sawa ketika bergelut menangkap reptilia di sebuah kebun di Alor Sena di sini sekitar tahun 2012. Ketika itu, tengah bergelut sebelum ular sawa mengigit tangan saya dan itu antara pengalaman yang masih segar berada dalam ingatan.

“Musim panas ini, ular akan keluar mencari tempat sejuk. Kita akan kenal pasti jenis ular itu, tempat dia berada sebelum melakukan kerja-kerja menangkap menggunakan alatan seperti penyepit, pencakup, penjerut dan karung,” katanya.-

**Info tangkapan ular dalam tempoh lima tahun

**2017 – 1,504 kes

**2018 – 1,658 kes

**2019 – 2,148 kes

**2020 – 2,387 kes

**2021 – 2,787 kes

**2022 sehingga Januari – 217 kes

**Purata Lima hingga lapan kes sehari

**Pada musim panas ular keluar dari habitat mencari tempat sejuk dan lembab untuk berlindung selain mencari makan

**Kelaziman ular memasuki kawasan rumah di sekitar kawasan berbukit dan sawah padi

**Faktor-faktor ular keluar sarang pada musim panas ini antaranya cuaca yang terlampau panas mencecah 36 hingga 40 darjah celsius.

UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya