Tuanku Muhriz sempurna pelancaran lagu identiti Negeri Sembilan

Tuanku Muhriz sempurna pelancaran lagu identiti Negeri Sembilan

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tuanku Aishah Rohani menyempurnakan Majlis Pelancaran Lagu Identiti Negeri Sembilan di Seremban, semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sempena Hari Keputeraan ke-74, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pelancaran Lagu Identiti Negeri Sembilan, di sini semalam.

Turut berkenan mencemar duli ke majlis itu ialah Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, lagu identiti Negeri Sembilan tersebut adalah projek kerajaan negeri dalam memastikan negeri ini mempunyai satu identiti khas dalam bentuk lagu yang mengangkat keunikan negeri yang kaya dengan budaya tersendiri itu.

“Projek ini adalah rakaman dan nyanyian semula sebuah lagu asal dan penghasilan lima lagu baharu menonjolkan identiti Negeri Sembilan di bawah seliaan komposer terkenal, Fauzi Marzuki. Ia telah dicetuskan oleh Tuanku Muhriz yang menitahkan supaya nyanyian Datuk Aishah iaitu Lambaian Negeri dirakam dan dinyanyikan semula tanpa mengubah sebarang susunan muzik dan lirik.

“Melalui penghasilan album ini, kerajaan negeri berharap rakyat di negeri ini dan Malaysia khususnya dapat mengenali budaya Negeri Sembilan melalui lirik, susunan muzik dan keharmonian yang wujud melalui dendangan lagu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Lagu Identiti Negeri Sembilan di sini semalam.

Menurut Aminuddin, produk akhir bagi projek berkenaan adalah menerusi penghasilan album lagu identiti Negeri Sembilan. 

“Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Penasihat Kehormat bagi pelaksanaan dan penghasilan projek lagu ini. Album Lagu identiti Negeri Sembilan mengandungi enam buah lagu iaitu Lambaian Negeri (Datuk Aishah), Orang Kito (Ito), Pepatih Pepitih (Ewal), Dirgahayu Yang di-Pertuan Besar (Fitri), Nogori (Waris) dan Moh Dogheh (Datuk Aishah),” katanya. 

Moh Dogheh juga merupakan lagu rasmi bagi sektor dan industi pelancongan Negeri Sembilan dan boleh dimuat turun melalui platform Spotify, iTunes, JOOX dan YouTube. Antara penulis lirik yang terlibat adalah Hairul Anuar, Ito, Lokman Ghani (Lokgha), Mulyazi dan Waris.

Projek itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya