BUTTERWORTH: Dua individu masing-masing pemandu bas kilang dan pemandu treler cedera parah dalam kejadian sebuah treler merempuh bas kilang di Jalan Perusahaan Perai, di sini.
Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 7.20 malam itu berlaku ketika treler tanpa muatan menghala ke utara itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh sebuah bas kilang yang membawa kira-kira 21 penumpang di laluan bertentangan.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd. Fakharurazi Md. Rejab berkata, turut cedera dalam nahas itu ialah 15 penumpang bas tersebut yang dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
“Selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu, bomba terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati ada dalam kalangan mangsa telah keluar daripada bas yang terbalik itu.
“Pada masa sama, kedua-dua pemandu berada dalam keadaan tersepit dan kami menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mereka,” katanya di sini hari ini.
Akibat kemalangan itu juga, polis terpaksa menutup jalan buat sementara waktu iaitu sehingga kerja-kerja mengalihkan kedua-dua kenderaan itu selesai dijalankan.
Dalam pada itu, seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ravi berkata, ketika kejadian dia berada di pejabat yang terletak bersebelahan lokasi kemalangan.
“Bunyi dentuman sangat kuat dan saya terus berlari turun untuk melihat apa yang berlaku.
“Kejadian itu berlaku terlalu cepat dan saya sempat melihat beberapa penumpang bas keluar melalui pintu kecemasan dalam keadaan berdarah selepas kemalangan itu berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE