TUMPAT: Tiga maut dengan dua daripada mereka rentung dalam nahas membabitkan sebuah kereta sebelum mengakibatkan kebakaran sebuah lagi kereta dan sebuah rumah di Kampung Morak di sini awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.04 pagi tadi sebelum tiba di lokasi 12 minit kemudian.
Menurutnya, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati dua buah kereta terbakar di kawasan sebuah rumah.
KEBAKARAN melibatkan kereta dan rumah di Kampung Morak, Tumpat.
“Kejadian dikatakan bermula selepas sebuah kereta dipercayai terbabas lalu terbakar dan apinya merebak hingga ke sebuah rumah dan kereta yang diletakkan di hadapan rumah tersebut.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan dua orang mangsa rentung terbakar di dalam kereta manakala seorang lagi maut akibat tercampak dari kereta itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
Tambahnya, kebakaran dua buah kereta dan sebuah rumah itu berjaya dipadam kira-kira pukul 3.35 pagi tadi.