Tiga maut dalam nahas rupa-rupanya suspek kes samun

Tiga maut dalam nahas rupa-rupanya suspek kes samun

MOHD. Azmir (tengah) melihat kerangka Honda HRV yang terbakar selepas merempuh sebuah rumah di Tumpat, Kelantan, pagi tadi. - FOTO/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Tiga lelaki yang maut dengan dua daripada mereka rentung dalam nahas membabitkan sebuah Honda HRV di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang, Morak, di sini pagi tadi merupakan suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Mohd. Azmir Damiri berkata, sebelum nahas, mereka bertiga bersama seorang lagi suspek memecah masuk sebuah rumah di Kampung Sungai Pinang sebelum melarikan sebuah Ford Ranger.

Katanya, mereka berempat berpecah dengan tiga daripada menaiki HRV dan seorang lagi memandu Ford Ranger terbabit.

“Kejadian disedari pemilik dan dia segera keluar rumah untuk membuat pemeriksaan. Salah seorang suspek melibas senjata tajam ke arah mangsa sementara rakannya berusaha melarikan Ford Ranger.

“Selepas suspek melarikan diri, pemilik kenderaan itu bertindak mengejar mereka dengan menaiki sebuah kereta BMW. Ketika itulah Honda HRV dinaiki tiga suspek terbabas melanggar rumah penduduk dan terbakar.

“Sementara itu, seorang lagi suspek hanya sempat melarikan Ford Ranger sejauh 18 kilometer dari rumah berkenaan sebelum terbabas di Kubang Kerian, Kota Bharu. Dia bagaimanapun berjaya meloloskan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata beliau, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri,” katanya.

Dalam nahas pukul 2 pagi ini, tiga maut dengan dua daripadanya ditemukan rentung selepas kenderaan jenis Honda HRV dinaiki mereka terbabas lalu merempuh pagar sebuah rumah dan terbakar bersama sebuah lagi kenderaan.

Sementara itu, saksi nahas tersebut, Mohd. Syukri Mohd. Zain, 30, berkata, dia ternampak tangan yang kaku dalam kereta Honda HRV sebelum api marak lalu membakar kenderaan itu.

“Selepas terdengar bunyi dentuman kuat yang menggegarkan kawasan rumah, saya segera keluar dan ternampak sebuah kereta sedang terbakar dalam kawasan pagar rumah jiran.

“Dalam masa sama, saya melihat kereta Proton Wira milik saya turut dirempuh kereta terbabit dan terbakar bersamanya. Saya cuba memadamkan api menggunakan air ditadah dalam baldi namun gagal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya