KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan tiga beradik yang kini di bawah jagaan persendirian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dikembalikan kepada ibu kandungnya serta merta.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan habeas corpus yang dikemukakan oleh ibu tunggal, Loh Siew Hong.
Wanita tersebut serta ketiga-tiga anaknya iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun hadir di mahkamah hari ini bagi mendengar permohonan tersebut.
Ketika mahkamah bersidang, tiga beradik itu ditempatkan dalam bilik saksi dengan pengawasan polis.
Sewaktu mengumumkan keputusannya, Hakim Collin berpuas hati bahawa pemohon telah diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.
Ujar Hakim Collin, Siew Hong sebelum itu turut diberikan hak jagaan dan kawalan sementara terhadap ketiga-tiganya.
Siew Hong selaku pemohon memfailkan writ habeas corpus terhadap Ustazah Nazirah Nanthakumari Abdullah selaku responden pertama dan pihak yang menahan ketiga-tiganya sebagai responden kedua. – UTUSAN