Tidak mahu genre tradisional dilupakan - Yasser Fikri - Utusan Malaysia

Tidak mahu genre tradisional dilupakan – Yasser Fikri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Irama tradisional cukup dekat dengan jiwa Yasser Fikri Abu atau nama pentasnya, Yasser Atakk kerana minatnya dalam lagu-lagu yang berkaitan dengan pantun.

“Lagipun, kalau di negeri Melaka memang adat kami berpantun dalam nyanyian Dondang Sayang.

“Namun, itu tidak bermakna saya tidak meminati genre lain. Cuma saya ingin memperjuangkan genre tradisional ini kerana tak mahu ia terus hilang dan dilupakan,” katanya.

Siapa sangka di sebalik karakternya yang santai dan suka berjenaka, Yasser berbakat dalam membawakan lagu irama tradisional.

Yasser tampil dengan lagu terbaharu yang juga lagu tema untuk mempromosikan Melaka sebagai Kota Pelancongan bertajuk Senandung Anak Melaka. Lagu tersebut turut mendapat sentuhan daripada Fauzi Mohammad dan Siso Kopratasa.

Idea dan inspirasi untuk mencipta lagu itu datang daripada Fauzi selepas dia selesai merakamkan lagu tema untuk sebuah teater di Melaka.

Siso pula memilih tema pelancongan untuk menghiasi melodi lagu selain mempromosikan Melaka sebagai kota pelancongan di Malaysia.

Fauzi memberitahu, Yasser telah dipilih sebagai penyanyi atas kebolehannya. Selain menyanyi, Yasser juga boleh menulis lirik.

Yasser gemar memparodikan lagu dan dikenali dalam kalangan peminat seni yang selalu melayari YouTube.

Bagaimanapun, Yasser akui ini merupakan pengalaman baharu buat dirinya yang belum pernah terlibat dengan mana-mana proses rakaman suara sebelum ini.

“Saya menyanyi menggunakan cara sendiri iaitu semasa memandu kereta. Alhamdullilah, ia berhasil sehingga lagu ini berjaya direkodkan.

“Apa pun yang terjadi saya mesti cuba yang terbaik. Pada masa yang sama, lagu ini kita nak bagi semua orang dengar jadi kualitinya harus tinggi kerana tidak ramai yang tahu secara meluas tentang genre tradisional ini,” katanya.

Menurut Siso yang merupakan penulis lagu itu, karya ini dihasilkan untuk membawa pendengar mengimbau kembali kegemilangan Melaka satu ketika dahulu sebagai Venice Timur yang sangat dikagumi oleh pedagang dari barat.

Dia berharap karya yang dihasilkan oleh Fauzi dan dinyanyikan Yasser ini bakal menjadi sebuah lagu yang dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

Bercakap mengenai cabaran dalam industri, Yasser berkata, pada mulanya dia mempunyai masalah untuk berhadapan dengan penonton di atas pentas kerana malu.

Tetapi, jelasnya, dia cuba mengatasi masalah itu dan belajar untuk membuang perasaan itu dengan menganggap penonton sebagai kawan baik sendiri.

“Siapa-siapa pun masa mula-mula naik pentas mesti ada sedikit perasaan malu. Tetapi bila kita sebut je sepatah perkataan mesti perasaan malu itu sudah hilang,” kata anak kelahiran Melaka itu.

Dia yang berusia 32 tahun ini berharap untuk mengetengahkan lagu-lagu tradisional dan setarafkan ia dengan lagu-lagu baharu yang ada dalam industri muzik sekarang.

“Kebanyakan lagu-lagu tradisional semakin pupus dan sudah tidak didengari di radio-radio yang popular dalam negara. Sama-sama kita doakan lagu tradisional dapat diketengahkan semula,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Luncai Emas bertindak sebagai pengedar lagu Senandung Anak Melaka melalui jualan digital di platform YouTube dan iTunes.

Muzik video lagu tersebut telah dilancarkan pda 29 Oktober lalu dan boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas dan didengari di semua saluran digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya