SHAH ALAM: Tiada ada mana-mana bahagian dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini yang dijual secara dalam talian seperti didakwa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar menerusi satu kaji selidik.
Malah, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memaklumkan keluasan hutan simpan di negeri ini bertambah kepada 250,250.29 hektar pada tahun lalu.
Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kaji selidik yang dibuat sebuah badan bebas dikenali sebagai Rimba Disclosure Project (RDP) mendakwa mengenal pasti penjualan HSK di sekitar negeri Selangor, Perak, Pahang, Terengganu serta Kelantan dan cuba dijual secara dalam talian termasuk Facebook pada tahun 2001.
“Terdapat dua lokasi di Selangor yang didakwa telah diiklankan melalui laman web untuk dijual iaitu di Pulau Indah (Pulau Lumut) seluas 192 hektar dan Puncak Alam seluas 72 hektar. Hasil semakan ke atas kedua-dua lokasi tersebut adalah bukan berstatus HSK.
“Berdasarkan semakan Jabatan Perhutanan Selangor, didapati lokasi yang dimaksudkan untuk penjualan tersebut adalah bukan berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, keluasan hutan yang didakwa dijual itu adalah 43,539 hektar dengan 264 hektar melibatkan hutan di Selangor.
Justeru, Ahmad Fadzil orang ramai supaya tidak mudah terpedaya ke atas sebarang bentuk tawaran iklan penjualan tanah yang melibatkan kawasan hutan simpanan kekal dan menghubungi Jabatan Perhutanan Selangor dengan segera sekira berhadapan kemusykilan dan keraguan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan komitmen Kerajaan Selangor melalui beberapa inisiatif sejak 2010 berjaya meningkatkan keluasan kawasan hutan simpan negeri.
“Antara inisiatif yang dibuat seperti menguatkuasakan Dasar Moratorium (Pembekuan) ke atas Pembalakan dalam HSK selama 25 tahun dan meminda Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 pada tahun 2011 iaitu mengenakan syarat penyiasatan awam ke atas mana-mana penyahwartaan HSK.
“Selain itu, sebarang penyahwartaan HSK perlulah diganti dengan keluasan yang setara nilai atau lebih serta secara serentak,” ujarnya.