Tiada sambutan Tahun Baharu Cina buat mangsa ribut - Utusan Malaysia

Tiada sambutan Tahun Baharu Cina buat mangsa ribut

SEORANG penduduk menunjukkan kerosakan rumahnya yang dibadai ribut di Kampung Tawas, Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: “Sudah tiada mood menyambut Tahun Baharu Cina, tak aturkan apa-apa persiapan untuk majlis makan besar kerana sejak semalam sibuk membersihkan rumah yang terkena ribut.”

Mangsa kejadian ribut di Kampung Tawas di sini, Cheah Seng Kun, 36, mengakui tiada lagi kegembiraan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut, hari ini.

Katanya, rumahnya yang rosak teruk akibat kejadian itu menyebabkan tumpuannya sekarang adalah untuk membersihkannya.

Menurutnya, dia tidak sempat menyediakan hidangan untuk majlis ‘makan besar’ bersama ahli keluarganya.

“Kerosakan rumah yang saya alami begitu teruk, atap rumah diterbangkan angin menyebabkan perlukan masa panjang untuk membersihkannya.

“Bagi saya tiada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, saya nak bersihkan dahulu rumah sebelum fikir hal lain,” katanya ketika ditemui di Kampung Tawas, semalam.

Seng Kun yang merupakan seorang akauntan di sini berkata, sepatutnya rumahnya di sini menjadi tempat perhimpunan ahli keluarga dan saudara mara setiap kali Tahun Baharu Cina.

Katanya, namun disebabkan kerosakan teruk pada rumahnya, dia telah memberitahu saudara-maranya termasuk yang tinggal di luar Perak supaya tidak pulang untuk menyambut Tahun Baharu Cina di rumahnya.

“Saya beritahu jika mereka nak balik boleh, cuma kena tolong saya bersihkan rumah,” katanya.

Mengenai ribut semalam, Seng Kun berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6 petang yang berlaku ketika cuaca cerah.

“Tiada hujan, malah cuaca panas ketika ribut melanda kawasan ini. Ia berlaku antara 20 hingga 30 minit.

“Ketika ini saya bersama tujuh ahli keluarga berada dalam rumah. Kami tiada dapat berbuat apa-apa sehingga ribut reda.

“Saya tidak sangka kejadian puting beliung seperti ini boleh berlaku di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya