Tiada hujan, Tasik Bukit Merah catat paras kritikal - Utusan Malaysia

Tiada hujan, Tasik Bukit Merah catat paras kritikal

KEADAAN air di Tasik Bukit Merah di Bagan Serai yang surut berikutan cuaca panas. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Operasi pengairan untuk sawah padi di Kerian dan penyaluran air untuk Lembaga Air Perak (LAP) akan dihentikan sekiranya paras air di Tasik Bukit Merah di sini terus surut berikutan cuaca panas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, paras air di tasik itu kian susut berikutan tiada hujan di kawasan itu.

Menurutnya, bacaan air di Tasik Bukit Merah mencatat paras kritikal tahap tiga dengan bacaan 6.55 meter hari ini.

“Sekiranya paras bacaan air menyusut sehingga 6.1 meter, maka pelepasan air untuk pengairan sawah padi terpaksa dihentikan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau Tasik Bukit Merah dekat sini hari ini.

Menurut Razman, sekiranya paras air Tasik Bukit Merah mencecah ke paras 6.1 meter, ia akan menjejaskan penyaluran air ke sawah padi di Kerian dengan keluasan bertanam seluas 19,200 hektar.

Beliau berkata, seramai 8,640 pesawah di Kerian akan terkesan.

“Penjadualan semula pengairan penanaman padi bagi musim 1/2022 di Daerah Kerian yang dijangka bermula pada pertengahan Febuari ini terpaksa ditunda sekiranya masih tiada hujan di kawasan ini.

“Kita telah mengadakan mesyuarat dengan Jabatan Pertanian; Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) bagi melakukan pembenihan awan sekiranya masih tiada hujan,” katanya

Razman berharap paras air Tasik Bukit Merah ini tidak susut sehingga ke paras 5.18 meter.

“Sekiranya terjadi maka penyaluran bekalan air untuk LAP juga terpaksa dihentikan. Ini akan menyebabkan lebih 200,000 pengguna domestik di Kerian akan terjejas,” katanya.

Tasik Bukit Merah terletak di antara dua daerah iaitu Kerian dan Daerah Larut Matang Selama dengan keluasan 40 kilometer persegi dan air dari tasik itu tidak hanya disalurkan untuk pengairan sawah padi tetapi juga kegunaan domestik termasuk membekalkan sumber air LAP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya