SHAH ALAM: Skuad wanita kebangsaan menerima tamparan hebat apabila kehilangan khidmat pemain beregu, Thinaah Muralith yang disahkan positif Covid-19, hari ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), gandingan Pearly Tan itu perlu menjalani kuarantin seperti yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebagai kontak rapat Thinaah, Pearly juga perlu menjalani ujian swab Covid-19 dan keputusannya negatif.
Ketiadaan Thinaah, Pearly kini digandingkan dengan Valaree Siow untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, dekat sini.
Kuarantin wajib selama lima hari yang perlu dijalani Thinaah, bermakna pemain berusia 24 tahun yang disahkan tidak mengalami sebarang gejala Covid-19 itu terpaksa melupakan sahaja kejohanan tersebut yang bermula, hari ini sehingga 20 Februari.
Malaysia akan beraksi menentang Jepun pada pukul 4 petang ini. – UTUSAN ONLINE