Kian ramai beralih beli telur itik

Kian ramai beralih beli telur itik

KAMALRUZAMAN Jamaludin mengutip telur itik di ladangnya di Parit 4A, Sungai Manik di Pasir Salak semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kesukaran membeli telur ayam di pasaran ketika ini menyebabkan permintaan telur itik meningkat.

Perkara ini diakui seorang penternak itik telur di Sungai Manik dekat sini, Kamalruzaman Jamaludin, 52, yang me­ngusahakan ternakan tersebut sejak setahun setengah.

Menurutnya, sejak harga telur ayam kurang dan mahal, ramai kini beralih membeli telur itik.

“Sebelum ini biasanya saya menjual telur berkenaan kira-kira 300 biji sehari tetapi sekarang me­ningkat lebih sekali ganda sehingga 800 biji sehari.

“Keadaan ini disebabkan harga telur ayam yang kurang di pasaran menyebabkan har­ganya meningkat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Parit 4 Sungai Manik, dekat sini semalam.

Kata Kamalruzaman, ladang ternakannya kini menjadi tumpuan daripada pekedai makan, peniaga burger, pengusaha kek dan untuk kegunaan isi rumah.

“Pelanggan juga yang berta­nyakan telur ayam tapi saya kata saya hanya ternak itik. Pelanggan tetap mahu telur tersebut sebagai pengganti telur ayam,” katanya.

Dalam sehari dia boleh me­ngutip antara 600 hingga 800 biji telur.

“Disebabkan permintaan tinggi, saya nak buat telur masin pun tak cukup. Tambahan pula saya sudah ada pelanggan tetap di kedai di sekitar Sungai Manik,” katanya.

Mengenai ternakannya, Kamalruzaman berkata, dia mula menternak sebanyak 700 itik dan kini bertambah kepada 1,000 ekor.

Katanya, itik mengambil masa tiga atau empat bulan untuk bertelur.

“Saya tidak menyangka ternakan itik mampu memberikan pulangan pendapatan yang baik apatah lagi ketika ini orang ramai menghadapi masalah untuk mendapatkan telur ayam,” katanya.

Menurutnya, dia menjadikan kawasan tanah terbiar di belakang rumahnya sebagai tempat ternakan itik.

“Tapak ternakan itik ini asalnya tanah sawah tapi di­sebabkan hendak buat sawah banyak guna modal, lebih baik saya ternak itik,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya