BAGAN SERAI: Aktiviti rekreasi air di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini terpaksa dihentikan sementara berikutan penurunan paras air di Tasik Bukit Merah yang mencatat paras kritikal berikutan tiada hujan sejak hampir sebulan lalu.
Pengurus Resort BMLR, M. Danesh Kumar berkata, aktiviti seperti melawat pulau Orang Utan, berkayak dan yang menggunakan Tasik Bukit Merah tidak dapat beroperasi ekoran penyusutan air di tasik itu ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, aktiviti air di tasik itu tidak dapat beroperasi sejak awal tahun ini kerana tiada hujan.
“Setiap tahun kami menghadapi masalah seperti ini cuma pada tahun ini ia berlaku lebih awal. Sebelum ini, penyusutan air tasik ini berlaku pada sekitar bulan Mac dan April namun tahun ini ia berlaku lebih awal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengunjung-pengunjung ke BMLR memahami situasi mengapa aktiviti rekreasi air tidak dapat dijalankan ketika ini.
“Namun begitu, segala aktiviti lain di resort ini beroperasi seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya kini giat mengadakan promosi harga yang amat berpatutan untuk pengunjung-pengunjung yang datang ke BMLR sebagai satu destinasi percutian.
“Segala perkembangan terkini dan juga aktiviti rekreasi air akan kita umumkan dari masa ke semasa di platform media sosial iaitu dalam Facebook Bukit Merah Laketown Resort,” katanya.
Semalam, seorang exco kerajaan negeri berkata, operasi pengairan untuk sawah padi di Kerian dan penyaluran air untuk Lembaga Air Perak (LAP) akan dihentikan sekiranya paras air di Tasik Bukit Merah di sini terus menyusut berikutan cuaca panas.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, paras air di tasik itu kian susut berikutan tiada hujan di kawasan itu.
Menurutnya, bacaan air di Tasik Bukit Merah mencatat paras kritikal tahap tiga dengan bacaan 6.55 meter semalam dan sekiranya paras bacaan air menyusut sehingga 6.1 meter, maka pelepasan air untuk pengairan sawah padi terpaksa dihentikan. – UTUSAN