PETALING JAYA: Melambangkan kuasa, keberanian, keyakinan, kepimpinan dan kekuatan, bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berharap, Tahun Harimau akan menjadi tahun kebangkitan bola sepak negara.
Kata bekas ketua jurulatih skuad bawah 23 Tahun (B-23) negara itu, Tahun Harimau sangat sinonim dengan gelaran Harimau Malaya yang diberikan kepada pasukan kebangsaan.
“Saya berharap semua orang mendapat kebahagian dan kegembiraan pada tahun baharu ini tanpa perlu risau tentang Covid-19.
“Saya harap tahun ini pasukan negara dapat bangkit seperti Harimau dan skuad Sabah juga dapat melalui musim yang baik dalam saingan liga (Liga Malaysia),” katanya.
Pasukan senior akan mengharungi dua kejohanan tahun ini iaitu pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun dan Piala AFF.
Dalam pada itu, skuad B-23 pula memiliki empat tugasan tahun ini bermula dengan Kejohanan AFF B-23 pada Februari, Sukan SEA pada Mei, Piala Asia B-23 AFC (Jun) dan Sukan Asia, pada September.
Sementara itu, penolong jurulatih skuad B-23 Khan Hung Meng berharap ketidaktentuan kerana Covid-19 tidak akan menghalang perancangan mereka untuk mengharungi empat kejohanan tahun ini.
“Saya mendoakan kesihatan yang baik dan harap pasukan dapat bermain dengan baik memandangkan masa (persiapan) singkat untuk ke Kemboja (Piala AFF B-23).
“Diharap juga Sukan Sea, Piala Asia B-23 AFC dan Sukan Asia dapat diteruskan seperti yang dirancang kerana kita tahu ia merupakan dua tahun yang mencabar dan begitu banyak kehidupan telah berubah kerana itu Covid-19,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemain Selangor Quentin Cheng kembali ke Red Giants musim ini selepas dipinjamkan ke Pulau Pinang pada 2021.
“Semoga Selangor akan berjaya tahun ini untuk menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas (Liga Super) dan layak ke Asia (Piala AFC 2023).
“Saya juga berharap skuad kebangsaan dapat melepasi kelayakan pusingan akhir Piala Asia 2023 pada Jun,” ujarnya.